Aduan rakyat di Parlimen Bandar Tun Razak meningkat


Selepas hampir sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi wakil rakyat kawasan itu, penduduk memberikan gambaran sukar untuk bertemunya serta beliau gagal menyelesaikan pelbagai isu seperti perumahan, penaja dan kemudahan asas kecil.

(Free Malaysia Today) –  Aduan rakyat di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak semakin meningkat dan keadaan ini dikatakan berpunca daripada
kegagalan anggota Parlimennya daripada PKR menjalankan tugas dengan baik.

Selepas hampir sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi wakil rakyat  kawasan itu, penduduk memberikan gambaran sukar untuk bertemunya serta beliau gagal menyelesaikan pelbagai isu seperti perumahan, penaja dan kemudahan asas kecil.

Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar berkata penduduk memaklumkan Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor memberi alasan bahawa hal-hal itu di bawah tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

“Apa peranannya sebagai wakil Parlimen?” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini dan menurut Rizalman, sehingga kini aduan mengenai permasalahan penduduk yang terkumpul yang diterima pejabat Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu berjumlah kira-kira 18,250 aduan.

Pejabat Umno dan BN kawasan itu yang dibuka setiap hari sentiasa sesak dengan penduduk setempat untuk mengadu masalah yang dihadapi mereka, katanya.

Jarang turun padang

Rizalman yang juga Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mendakwa Abdul Khalid adalah antara wakil rakyat yang sangat jarang turun padang.

“Jika beliau hadir ke (sidang) Parlimen, memang tak ada isu pun yang beliau ketengahkan mengenai masalah rakyat di kawasan ini. Jadi kita tak tahu Abdul Khalid ini, tujuannya menjadi wakil rakyat di sini, sama ada betul untuk berkhidmat atau hanya untuk menyumbang satu kerusi untuk pakatan pembangkang,” katanya.

Mengenai isu pemilikan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang merupakan antara faktor kekalahan BN di kawasan itu pada pilihan raya umum 2008, Rizalman berkata perkara itu telah diselesaikan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keseluruhan kawasan PPA dan PPR boleh dimiliki penduduk yang ingin memilikinya.

“Kita harap rakyat yang duduk di PPA dan PPR ini tidak melupakan usaha baik kerajaan dengan memberi peluang kepada BN untuk kembali di Parlimen Bandar Tun Razak (pada pilihan raya umum ke-13 akan datang),” katanya.

Pada 28 Jan lepas, Perdana Menteri dilapor berkata bahawa Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam akan mula beroperasi 1 Mac ini bagi membantu mereka yang berminat memiliki rumah di kawasan ibu negara.

PPR-MTEN

Skim itu yang dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar akan dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan juga Perumahan Awam DBKL.

Ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam pada itu, Rizalman berkata beliau dan seluruh penduduk Bandar Tun Razak berterima kasih dan menyambut baik keputusan kerajaan yang memilih kawasan Parlimen itu untuk pembinaan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PR1MA, rumah mampu milik bagi golongan berpendapatan kurang daripada RM3,000 menerusi Skim Rumah Pertamaku.

“Kita menyambut baik pengumuman kerajaan untuk membina PR1MA dalam kawasan Bandar Tun Razak dan kita faham keluhan anak muda masa kini ialah keupayaan untuk membeli rumah. Tambahan lagi dalam kawasan Parlimen Bandar Tun Razak ini, nak mencari rumah yang murah cukup payah,” katanya.

Rizalman berkata jumlah belia di kawasan itu pada masa kini adalah seramai 90,000 orang dan daripada jumlah itu 42,000 adalah pengundi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...