Perbaiki kemiskinan di Malaysia


Ungku Aziz

Saya amat menitikberatkan penubuhan satu sistem yang telus, bertanggungjawab dan berkesan bagi menyalurkan ganjaran secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya.

Ungku Aziz

Suatu perkara paling ketara dalam perancangan pembangunan Malaysia ialah ketiadaan perbincangan yang realistik untuk memperbaiki masalah kemiskinan melampau (extreme poverty) bagi setiap warganegara yang hidup di bawah paras kemiskinan sebagaimana yang digariskan oleh Kerajaan.

Tanpa terjunam di dalam perangkap perbahasan remeh-temeh mengenai paras kemiskinan, adalah jelas bahawa sejak setengah abad lalu ketidakseimbangan dalam pembahagian pendapatan atau kekayaan semakin meluas. Dengan lain perkataan, golongan kaya bertambah kaya manakala yang miskin bertambah miskin. Mengikut bahasa statistik, ketidakseimbangan ini semakin berpintal (skewed).

Majoriti golongan miskin melampau adalah kaum Bumiputera. Mereka termasuk yang tinggal di desa dan di kota dan kini semakin meningkat bilangannya. Mereka yang ditakrif sebagai Orang Asli dan penduduk asal Sarawak dan Sabah (natives) juga tergolong dalam kumpulan ini.

Di samping itu sejumlah besar kaum India, terutamanya mereka yang tersingkir dari kawasan bekas ladang getah juga merupakan golongan miskin melampau.

Bagi kaum Cina pula, terdapat sejumlah warga tua yang tercicir daripada jaringan keselamatan tradisional. Golongan terbiar warga tua ini yang pada kebiasaanya dijaga oleh pertubuhan-pertubuhan kemasyarakatan mengikut dialek masing-masing.

Di sini saya tidak akan menyentuh tentang golongan pengemis dan anak-anak yatim.

Golongan miskin melampau dianggarkan berjumlah lebih daripada satu juta individu atau 300,000 hingga 400,000 keluarga.

Sekiranya keadaan ini terus diabaikan ia akan menjejaskan kestabilan politik, terutamanya dalam rancangan pembangunan. Saya belum nampak sebarang rancangan berkesan atau kenyataan-kenyataan khusus yang dibuat untuk menangani masalah kemiskinan melampau.

Rakyat Malaysia harus sedar bahawa terdapat jurang perbezaan antara niat dan perilaku. Perbezaan ini dipengaruhi oleh sikap kita terhadap peredaran waktu. Menurut pesanan Keynes, in the long run we are all dead! (dalam jangka panjang, kita semua akan menemui ajal!) Justeru, berapa lama lagi kita harus menunggu?

Kononnya ada pelbagai teori berbeza yang direka untuk mengurangkan, membasmi atau menangani apa yang disebut sebagai ‘kemiskinan tegar’ atau hardcore poverty. Usaha yang tidak praktikal ini sebenarnya bermula dengan niat murni, sungguhpun tidak ada satu pun yang meninggalkan hasil berkesan dan berkekalan.

Istilah hardcore membawa maksud kesukaran yang berpunca dari akar umbi. Kata sifat hard bermaksud sukar diatasi. Para perancang putar belit politik Malaysia mahu kita percaya bahawa jika core atau punca akar umbi itu boleh dihapuskan, maka keseluruhan masalah itu akan lenyap dalam sekelip mata.

Sebenarnya ini bukanlah isu semantik. Ia telah mempengaruhi ramai pencipta akronim, kata singkatan dan slogan. Kita perlu ingat kata mutiara Marshall McLuhan: The medium is the message yang bermaksud perantaraan ialah mesejnya.

Kumpulan Miskin Melampau

Saya mencadangkan satu penyelesaian holistik yang berkekalan terhadap masalah yang berbangkit ekoran pengabaian ini. Bagi mengelakkan salah faham, saya akan menggunakan istilah baharu iaitu Kumpulan Miskin Melampau (KMM) atau Extreme Poverty Group.

Di sini, untuk memudahkan perbincangan saya cadangkan satu penyampaian dalam bentuk kewangan supaya ia mudah difaham oleh pembaca biasa.

Dengan mengambil kira semua isi rumah warganegara Malaysia yang tinggal di negara ini pada 1 Januari 2012 saya cadangkan setiap keluarga lima orang ahli (contohnya, suami, isteri dan tiga anak) hidup di bawah paras kemiskinan jika pendapatan kasar mereka kurang daripada RM800 sebulan.

Tanpa mengambil kira tentang perbezaan keperluan keluarga di kota atau desa dan perbandingan jangka hayat kanak-kanak di bawah umur lima tahun, data ini membayangkan bahawa jika anda tergolong dalam kumpulan miskin melampau, anda mungkin lebih pendek umur atau lebih cepat sampai ajal berbanding orang lain.

Aspek paling penting keadaan ini ialah kekurangan pertumbuhan jasad dan otak, atau keadaan “terbantut”, (stunted) mengikut istilah Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia. Ini bermakna walaupun keluarga KMM mungkin melahirkan lebih ramai anak, bilangan yang mencapai usia remaja atau pertengahan umur semakin berkurangan sebagaimana yang tercatat pada carta jangka hayat semasa.

Sebenarnya golongan KMM ini perlukan bekalan keperluan asas seperti makanan yang selamat, pakaian dan tempat berteduh.

Mereka tidak perlukan bantuan atau sumbangan bermusim seperti pada waktu pilihan raya, perayaan atau pada bila-bila waktu pemimpin tertentu itu berasa perlukan sokongan besar-besaran penduduk tempatan.

Acara tanggungjawab sosial korporat yang dianjurkan dari masa ke semasa untuk melepaskan batuk di tepi tangga juga tidak memadai untuk membantu mereka.

Cadangan baru demi memperbaiki kumpulan kemiskinan melampau

Usaha memperbaiki kemiskinan bermula hanya apabila warganegara paling miskin mampu memberi makan dan pakaian kepada keluarganya mengikut ukuran penjagaan asas (basic standards of care).

Satu rangka prasarana perkhidmatan diperlukan. Cadangan saya mengandungi empat bahagian: sebuah Agensi Kerajaan untuk Menangani Kemiskinan Melampau (AMKM) atau Agency for the Mitigation of Extreme Poverty, Ketua keluarga (Kk), Mentor dan Peruncit berdaftar (Pb).

Pada peringkat awal di bawah rancangan ini kerajaan akan menubuhkan sebuah agensi — AMKM — yang ditugaskan secara khusus untuk menangani kemiskinan melampau di Malaysia. Peranan utamanya adalah untuk menetapkan dan mengurus ganjaran bulanan (stipend) yang layak diterima oleh Kk dan memastikan ganjaran ini digunakan dengan betul.

Jumlah ganjaran adalah sama bagi semua keluarga, tanpa mengira bilangan ahli keluarga atau kedudukan mereka. Ia akan disalurkan melalui MyKad yang diperbaharui dalam bentuk debit pratambah nilai yang hanya boleh digunakan di kedai Pb.

Ganjaran ini bertujuan membantu KMM mendapatkan keperluan asas mereka untuk setiap bulan. Jumlahnya perlu dibincangkan lebih lanjut.

Saya amat menitikberatkan penubuhan satu sistem yang telus, bertanggungjawab dan berkesan bagi menyalurkan ganjaran secara langsung kepada mereka yang paling memerlukannya. Adalah penting cadangan ini mampu mendidik KMM secara holistik.

AMKM diketuai oleh seorang Ketua Pengarah yang akan menyusun dasar dan peraturan supaya Agensi ini dapat melaksanakan tugas dengan cekap. Ketua Pengarah akan dibantu oleh barisan Mentor dan Penyelia Mentor Kanan yang tugasnya akan saya huraikan seterusnya.

AMKM tertakluk di bawah peraturan dan amalan perkhidmatan awam akan mengenalpasti kelompok isi rumah KMM yang akan diselia oleh seorang Mentor di bawah Kawasan Perkhidmatan Ditetapkan (Designated Service Area).

Pada peringkat awal, seorang Mentor ditugaskan menyelia lima orang Kk sehari. Sekali gus ia berkhidmat untuk 80 orang Kk dalam tempoh sebulan bekerja. Setelah mendapat pengalaman, Mentor itu mampu menyelia bilangan Kk yang lebih besar lagi.

Ciri-ciri Mykad hendaklah dipertingkatkan bagi meliputi kad debit khas untuk KMM. Mykad berciri baru ini akan hanya dikeluarkan kepada mereka yang layak ditakrif sebagai KMM sahaja.

Keseluruhan operasi ini perlu kerap diperiksa oleh Jabatan Audit Negara. Pihak media serta Ahli Parlimen juga perlu terlibat sama dalam pengawasan ini.

baca artikel penuh



Comments
Loading...