PAS terima Timbalan Presiden bukan Melayu


Dr Dzulkefly Ahmad(FMT) – PAS sedia memberi ruang kepada pemimpin bukan Melayu memegang jawatan Timbalan Presiden dalam parti itu.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad berkata, PAS mengamalkan urus tadbir Islam yang terbuka dan boleh berubah mengikut keadaan politik semasa.

Katanya tidak ada masalah jika bekerjasama dengan bukan Islam untuk kebaikan memandangkan PAS membawa pentadbiran Islam untuk semua.

Beliau merujuk kepada gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang membentuk Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) selepas fenomena Arab Spring yang memaksa Presiden Mesir Hosni Mubarak meletakkan jawatannya.

FJP terbuka untuk semua rakyat Mesir termasuk yang beragama bukan Islam malah anggota pengasasnya terdiri daripada Coptic Kristian, namun tetap berprinsip terus menjaga dan memelihara dasar-dasar Islam dan menyokong dasar Islam yang termaktub dalam perlembagaan Mesir.

“Kami bersedia terima pemimpin bukan Islam sekiranya keadaan mendesak,” katanya selepas wacana ‘Mengapa Undi Melayu Pecah’ anjuran akhbar Sinar Harian di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan hudud juga tidak akan berlaku sekiranya tidak mencapai kata sepakat oleh DAP dan PKR ketika Pakatan Rakyat memerintah Putrajaya.

Katanya walaupun itu matlamat PAS, namun dengan cita-cita semata-mata tanpa ada sokongan masyarakat berbilang kaum tidak akan membawa impian itu kemana-mana.

“Kita sanggup menang dan juga sanggup mengalah atas nama demokrasi,” katanya.



Comments
Loading...