NFCorp perjelas pelebarannya ke Singapura


“Bila kita mempunyai daging yang terlalu banyak, pasaran Malaysia tidak akan membeli kesemuanya jadi kami perlu mencari pasaran luar untuk berniaga.”

Mohd Salleh Ismail

(The Malaysian Insider) – Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) berkata mereka berniat untuk menjual daging keluaran mereka ke luar negara kerana pasaran tempatan adalah sangat kecil dan tidak mampu memenuhi pengeluaran mereka, selepas pembangkang mendedahkan perniagaan pasaraya di Singapure yang dikaitkan dengan pengarah syarikat itu.

Pengerusi NFCorp, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail menjelaskan projek penternakan lembu fidlot itu membina pasar di Singapura dan akan melakukan perkara yang sama di Indonesia kelak.

Menurut beliau tindakan seperti itu adalah satu keperluan memandangkan Pusat Fidlot Nasional akan menghasilkan 78,000 tan daging lembu menjelang 2015 apabila pusat penyembelihannya mula beroperasi, lebih daripada keperluan rakyat Malaysia.

NFC ditubuhkan pada 2007 bagi membekalkan jaminan makanan simpanan daripada daging import.

“Bila kita mempunyai daging yang terlalu banyak, pasaran Malaysia tidak akan membeli kesemuanya jadi kami perlu mencari pasaran luar untuk berniaga,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

“Kami tiada kontrak dengan kerajaan (untuk menjual daging) … Kami hanya ada kontrak untuk menyembelih lembu. Kamu fikir di mana kami nak jual semua itu?”

Salleh merujuk kepada dakwaan beliau dan keluarganya menggunakan RM250 juta dana NFC dan membuat pinjaman dengan bank konersial untuk membuka pasaraya di Singapura.

Bagaimanapun, beliau enggan memberikan respon berkenaan tuduhan keluarganya dikaitkan dengan Pasaraya Farmhouse, sebaliknya mengatakan NFCorp akan mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan perkara itu dalam keadaan yang lebih “teratur.”

Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli semalam menuduh Pasaraya Farmhouse akan menjadi penyewa tetap di pusat beli belah The Star Vista di Singapura, dan dinafikan pemiliknya, CapitalMalls Asia hari ini.

Rafizi kemudiannya membuat pembetulan, berkata beliau keliru antara The Star Vista dengan Rochester Mall, yang mana Pasaraya Farmhouse dikatakan penyewa terbesar di tingkat dua.

Salleh juga berkata, NFC berniat untuk menyokong penternak tempatan dan mengembangkan pasaran daging lembu Malaysia, dan menegaskan tiada pihak yang sepatutnya ditentang untuk memajukan sosio-ekonomi.

“Kenapa Rafizi menentangnya? Kalau kami akan membeli daripada petani dan menjualnya kepada masyarakat di seluruh dunia, apa salahnya?” katanya, dan menambah projek berkenaan masih lagi berada di landasan yang betul bagi mencapai sasarannya.

NFC dikatakan projek yang yang akan memberikan impak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan mensasarkan gemas akan menjadi Lembah Daging bagi mengurangkan penggantungan terhadap daging import.

NFCorp yang memantau NFC, menjadi tajuk perbualan selepas termasuk dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010, dan berterusan dikaitkan dengan  Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Pengerusi NFCorp Salleh – merupakan bekas ketua penyelidik Sains Makanan di  Universiti
Pertanian Malaysia (UPM) – adalah suami kepada Shahrizat. Beliau menjalankan syarikat itu bersama-sama tiga anak mereka.

PKR telah membuat beberapa siri pendedahan termasuk pinjaman RM62 juta yang digunakan untuk tanah, hartanah, dan perbelanjaan lain yang tidak berkaitan penternakan lembu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Putrajaya akan membentuk juruaudit bebas bagi menyiasat akaun NFCorp.

Parti pembangkang telah mendesak kerajaan membekukan aset NFC bagi mengelakkan syarikat itu terus menggunakan dana kerajaan sementara siasatan masih dilakukan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial minggu lepas berkata mereka mencadangkan kepada Peguam Negara supaya kesemua pengarah NFCorp didakwa atas alasan pecah amanah.

 



Comments
Loading...