PNB beli Woolgate Exchange RM1.3 bilion


PNB-Woolgate Exchange(Berita Harian) – PERMODALAN Nasional Bhd (PNB) yang kini aktif meningkatkan pelaburan dalam sektor hartanah di luar negara, bersetuju untuk membeli hartanah terbarunya di kota London iaitu Woolgate Exchange pada harga £270 juta (RM1.3 bilion).

Bangunan pejabat antara yang terbesar di bandar raya London itu, terletak di 25 Basinghall Street dan ia menawarkan hasil pulangan tahunan 5.7 peratus.

Sumber berkata, PNB membeli bangunan itu daripada pengurus pelaburan Ireland, D2 Private yang membeli bangunan berkeluasan 351,000 kaki persegi itu daripada Bankhaus Woelbern, bank pelaburan berpangkalan di Hamburg, Jerman pada awal 2006 pada harga £325 juta (RM1.5 bilion).

Pengurus pelaburan Ireland itu terpaksa menjual bangunan pejabat berkenaan kerana gagal membayar baki tertunggak pinjaman £272 juta (RM1.3 bilion) yang mencapai tarikh matangnya 18 Julai lalu.

“Urus niaga ini sebahagian daripada pelan strategik PNB untuk memperoleh aset premium di bandar raya utama di seluruh dunia,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Difahamkan pengurus dana amanah itu memperuntukkan satu £1 bilion untuk melabur di London, antara lokasi utama pelaburan sektor hartanah di United Kingdom (UK). PNB membeli hartanah sulungnya di London pada Disember lalu iaitu bangunan pejabat Milton and Shire House di Silk Street pada harga £350 juta (RM1.6 bilion).
Bangunan itu dibelinya daripada pengurus dana berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Beacon Capital Partners.

Pada Januari lalu, dilaporkan bahawa PNB juga membuat tawaran untuk membeli tiga daripada empat bangunan milik pengurus dana Jerman, KanAm di Kota London pada harga £750 juta (RM3.5 bilion)

Pembelian hartanah sulung PNB di luar negara pada Ogos 2010. Ia membeli Santos Place di Brisbane, Australia, A$290 juta (RM928 juta).

Sebelum ini ada laporan mengatakan PNB akan menjadikan sektor hartanah sebagai antara bidang pelaburan terasnya dengan meninjau pembelian aset berpotensi secara lebih agresif di luar negara dalam usaha mengembangkan lagi portfolio pelaburannya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata pengurus dana amanah itu perlu mempelbagaikan pelaburan selain tumpuan kepada ekuiti, supaya dana lebih RM190 bilion yang diuruskannya dapat diperluaskan.

Langkah itu turut memastikan PNB mampu mengagihkan pendapatan kira-kira RM9 bilion kepada pemegang sembilan tabung unit amanah di bawah tanggungjawabnya setiap tahun.



Comments
Loading...