Terima semula jawatan EXCO


Phahrolrazi-Dr.Ismail (Berita Harian) – Dua EXCO Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh bersetuju menerima semula jawatan EXCO selepas matlamat mereka mengehadkan kuasa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang disifatkan sebagai terlalu luas sebelum ini tercapai.

Ia berikutan penubuhan Jawatankuasa Pemandu yang diputuskan PAS Pusat untuk memantau pentadbiran kerajaan negeri ketika ini dan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika parti itu masih berkuasa.

Phahrolrazi pada sidang media bersama Dr Ismail semalam, berkata mereka bersetuju dengan tiga ketetapan PAS Pusat iaitu mengekalkan Azizan sebagai Menteri Besar, mengarahkan mereka berdua kembali sebagai EXCO dan menubuhkan jawatankuasa itu bagi memantau pentadbiran kerajaan negeri.

Katanya, jawatankuasa itu akan berfungsi sebagai kuasa pemutus tertinggi, sekali gus membolehkan sebarang percanggahan pendapat di kalangan EXCO, termasuk dengan Menteri Besar diselesaikan di peringkat itu.

“Bagaimanapun, ia bukanlah syarat yang saya tetapkan untuk menerima kembali jawatan EXCO negeri, tetapi cadangan itu mungkin terhasil daripada rumusan syarat yang saya letakkan untuk menerima kembali jawatan EXCO.

“Sebelum ini kuasa Menteri Besar terlalu luas dan mutlak sehingga jika berlaku sebarang percanggahan pendapat di kalangan EXCO, ia tidak dapat dibincangkan ke peringkat lebih tinggi. Matlamat saya untuk memastikan negeri ini ditadbir secara berjemaah sudah tercapai dengan penubuhan jawatankuasa pemandu,” katanya pada sidang media, di rumahnya di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.

Phahrolrazi berkata, beliau menyerahkan kepada Menteri Besar untuk melantiknya dan Dr Ismail kembali sebagai EXCO.

“Walaupun menerima arahan itu dan sedia kembali sebagai EXCO, ia masih tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah dan terpulang kepada Menteri Besar untuk menentukan bila kami akan dipanggil. Saya difahamkan, nama saya dan Dr Ismail tidak ada dalam senarai awal yang dihantar sebelum pelantikan baru EXCO 28 Februari lalu. Jadi terserah kepada Menteri Besar dan beliau sepatutnya mematuhi arahan Pusat,” katanya.

Phahrolrazi juga berkata, penubuhan jawatankuasa pemandu bukan perkara baru dalam pentadbiran PAS kerana sudah diamalkan di Kelantan.

Sementara itu, Dr Ismail berkata, beliau menerima keputusan PAS Pusat dengan hati terbuka dan akan bekerja bersungguh-sungguh demi kelangsungan pemerintahan PAS di negeri ini.

Sementara itu, Azizan berkata, beliau akur dengan keputusan PAS Pusat untuk menyelesaikan kemelut yang timbul berhubung pelantikan Phahrolrazi dan Dr Ismail sebagai EXCO itu.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, selaku pemimpin tertinggi parti di negeri ini, beliau menghormati dan menerima keputusan muktamad itu.

“Saya ikut saja apa juga keputusan PAS Pusat. Dari awal lagi, bukan saya yang buang mereka (Phahrolrazi dan Dr Ismail), tetapi mereka yang tidak mahu dilantik semula sebagai EXCO,” katanya.

Beliau turut menyerahkan sepenuhnya kepada PAS Pusat untuk berbincang dengan kedua-dua EXCO terbabit jika ada masalah lain timbul selepas arahan itu dikeluarkan.

“Jika selepas ini mereka masih enggan ikut arahan ditetapkan PAS Pusat, apa yang boleh saya buat. Saya akan serah pada PAS Pusat untuk uruskan kerana perkara ini sudah diambil sepenuhnya oleh parti peringkat pusat dan mereka akan memantau apa yang berlaku,” katanya.



Comments
Loading...