MCA syor kaji semula pemberian biasiswa JPA


MCA-JPA (Berita Harian) – Pemuda MCA berpendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu diberi kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kolej matrikulasi yang ditawar ke universiti terkemuka di seluruh dunia dan bukannya pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti diamalkan sekarang.

Ketua Biro Pendidikannya, Chong Sin Woon, berkata ini kerana biasiswa JPA yang diberi kepada mereka selalu mencetuskan banyak masalah pada setiap tahun dan kerajaan perlu melakukan pembaharuan sistem pengagihannya.

 

Katanya, langkah itu perlu kerana pelajar lepasan SPM terlalu ramai sedangkan jumlah biasiswa JPA adalah terhad.

“Selain itu, mereka juga belum ditawar melanjutkan pengajian di universiti tetapi sudah mendapat biasiswa dan ini tidak adil kepada pelajar cemerlang lepasan STPM serta kolej matrikulasi yang ditawarkan memasuki universiti.

“Ada di kalangan mereka gagal dan tidak mencapai keputusan memuaskan di (universiti) luar negara, sekali gus menyebabkan biasiswa diberi sia-sia, yang sepatutnya diberi kepada pelajar cemerlang lepasan STPM,” katanya pada sidang media program Bimbingan Pendidikan Pemuda MCA 2012 di Wisma MCA di sini, semalam.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa biasiswa JPA akan dibatalkan untuk pelajar lepasan SPM, tahun lalu.

Sehubungan itu, Sin Woon meminta kerajaan terutama JPA mengumumkan sistem baru pengagihan biasiswa berkenaan secepat mungkin kerana ia masih belum mempunyai sebarang keputusan sehingga hari ini.
“Ia perlu diumumkan segera sebelum keputusan pelajar lepasan SPM dijangka diketahui hujung bulan ini bagi mengelak ia menjadi huru-hara,” katanya.

Sementara itu, Sin Woon berkata, pihaknya mengadakan Bimbingan Pendidikan Pemuda MCA sesi pertama untuk pelajar lepasan STPM mulai esok hingga 18 Mac ini di pelbagai lokasi, manakala sesi kedua bagi pelajar SPM pula akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.



Comments
Loading...