KWSP tingkat pelaburan luar negara


Imej Berita Harian

(Berita Harian) – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang meningkatkan peruntukan pelaburannya di luar negara kepada 30 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang sejajar peningkatan berterusan jumlah dana yang diuruskannya.

Ia yang kini disenaraikan sebagai antara 10 pengurus dana persaraan terbesar di dunia dari segi aset, ketika ini hanya dibenarkan melabur sehingga 23 peratus daripada dana yang diuruskannya dalam pasaran saham, hartanah dan instrumen berpendapatan tetap di luar negara.

Bagaimanapun, buat masa ini ia hanya menggunakan antara 12 hingga 14 peratus daripada dananya bagi tujuan berkenaan.

Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata jumlah keseluruhan dana yang diuruskan KWSP ketika ini adalah RM470 bilion dan mengunjurkan ia akan meningkat kepada RM500 bilion menjelang pertengahan tahun depan sejajar dengan peningkatan jumlah dan pendapatan pencarumnya.

“Justeru, kami melihat wujud keperluan untuk meningkatkan peruntukan bagi pelaburan di luar negara kepada 30 peratus apabila dana yang kami uruskan mencecah RM1.5 trilion yang dijangkakan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pada masa ini majoriti pelaburan kami di luar negara lebih bertumpu kepada pelaburan dalam pasaran ekuiti di Asia Tenggara, Asia, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah serta sektor hartanah di London dan Australia.
“Kami akan meneruskan strategi sedia ada dalam meningkatkan pelaburan di luar negara,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Azlan berkata, KWSP berminat untuk mengukuhkan lagi pelaburan dalam sektor hartanah di luar negara dengan meninjau peluang membeli hartanah di luar London, Perancis dan Jerman.

Beliau menjelaskan, pihaknya lebih selesa untuk membeli hartanah di Australia dan London kerana urusan undang-undang berkaitan syarikat, tanah dan cukai di negara berkenaan adalah hampir sama dengan Malaysia.

Ketika ini, KWSP mempunyai beberapa pelaburan dalam pasaran hartanah di United Kingdom (UK) termasuk bangunan pejabat di kawasan premium London, iaitu One Sheldon Square di Paddington Central yang dibeli pada harga 156
juta pound serta 40 Portman Square berhampiran Oxford Street membabitkan pelaburan 180 juta pound.

Tahun lalu, ekuiti adalah penyumbang pendapatan terbesar KWSP iaitu sebanyak RM13.29 bilion atau 48.81 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburannya.

Ia diikuti pinjaman dan bon, Sekuriti Kerajaan Malaysia dan instrumen pasaran wang yang masing-masing menyumbang RM7.54 bilion, RM5.63 bilion dan RM656.36 juta.

Baki RM115.41 juta atau 0.43 peratus lagi disumbangkan pelaburan dalam hartanah dan pendapatan pelaburan lain.

Susulan prestasi memberangsangkan itu, ia mengumumkan dividen enam peratus untuk 13 juta pencarumnya, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

KWSP membayar dividen 5.8 peratus pada 2010 dan 5.65 peratus pada 2009.

Mengenai sama ada KWSP berupaya membayar dividen pada kadar sehingga dua angka pada masa depan, Azlan berkata, ia adalah amat sukar, terutama dalam persekitaran kadar faedah yang rendah ketika ini.

Beliau menjelaskan, sebagai sebuah agensi pengurus dana persaraan, majoriti pelaburan KWSP adalah dalam instrumen berpendapatan tetap dan berisiko rendah seperti SKM, bon serta instrumen pasaran wang yang biasanya adalah berkait rapat dengan arah aliran kadar faedah.

 



Comments
Loading...