Nak hadapi pembangkang dah payah, masalah dalaman bertambah pula


http://aliran.com/wp-content/uploads/2011/03/muhyiddin.jpg

Kumpulan ini mahukan Najib mendapat kemenangan yang tipis sahaja kerana dengan kemenangan kecil itu akan menjadi formula mampan untuk mengenepikan Najib dari pimpinan parti dan negara.

Aspan Alias

Ada setengah pihak dalam UMNO sendiri berkehendakkan kemenangan BN dalam pilihanraya yang akan datang hanyalah kemenangan yang lebih tipis dari kemenangannya dalam pilihanraya yang lalu. Kumpulan ini seolah-olah mahukan segala-galanya berlaku mengikut kehendak dan kemahuan mereka sahaja. Kehendak ini disebabkan masalah dalaman UMNO sendiri dan ia bersabit dari keinginan setengah pemimpin mahukan berlakunya peralihan pimpinan dalam UMNO selepas pilihanraya ini.

Mereka yang saya maksudkan ialah mereka yang saya anggap sebagai dedalu di dalam UMNO dalam posting saya yang lalu. Kumpulan ini mahukan Najib mendapat kemenangan yang tipis sahaja kerana dengan kemenangan kecil itu akan menjadi formula mampan untuk mengenepikan Najib dari pimpinan parti dan negara. Kegagalan Najib untuk meraih kemenangan yang lebih baik dari pilihanraya pimpinan Abdullah Badawi pada 2008 dahulu akan dijadikan penyebab untuk UMNO mengenepikan Presidennya itu bagi memberi peluang kepada ‘Tengku Mahkota’ UMNO. TS Muhyiddin Yassin untuk mengepalai pimpnan UMNO selepas itu.

Abdullah telah tunduk dengan kumpulan Muhyiddin yang dibelakangnya Dr Mahathir yang merupakan pencatur ‘master’ dalam menolak Abdullah Badawi dan memulakan usaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai PM.

Saya telah menyebut perkara ini dalam posting saya pada tahun 2008 yang lalu. Dr Mahathir sebenarnya bukan mahukan Najib semasa itu tetapi oleh kerana keadaan, Mahathir telah menonjolkan Najib kerana bagi beliau Najib adalah pemimpin yang mudah diketepikan jika Muhyiddin menjadi Timbalannya. Kumpulan ini percaya yang Najib mudah diketepikan dengan isu-isu besar yang menyaluti beliau. Saya percaya kepada kemungkinan ini, kerana akhir-akhir ini ramai dikalangan ahli-ahli UMNO yang bergiat menemui saya dan memberikan saya gambaran yang sama.

Pelan peralihan kuasa dari Najib kepada Muhyiddin ini memang telah dirancang dari dahulu lagi dan Najib nampaknya hanyalah dijadikan sebagai ‘stop-gap’ untuk menunggu waktu yang sesuai untuk melaksanakan niat mereka untuk menggantikan Najib dengan ‘Tengku Mahkota’ UMNO itu. Tetapi ada juga dikalangan penyokog Najib supaya jangan mengambil peduli dengan permintaan Mahathir untuk menangguhkan pilihanraya kali ini. 

Read more at: http://aspanaliasnet.blogspot.com/2012/03/nak-hadapi-pembangkang-dah-payah.html



Comments
Loading...