5 perkara tumpuan draf ganti ISA


Hishamuddin Hussein(Berita Harian) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memberi tumpuan terhadap lima perkara dalam menggubal undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan, tahun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata antara perkara akan diberi tumpuan adalah tempoh penahanan, layanan terhadap tahanan, hubungan dengan keluarga tahanan dan proses untuk membuat rayuan dalam tempoh tertentu.

“Semua perkara ini akan diambil kira dalam draf undang-undang yang sedang digubal Peguam Negara (Tan Sri Abd Ghani Patail)… ia perkara asas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Parlimen Penggal Kelima di lobi Parlimen di sini, semalam.

Hishammuddin berkata, bagi menggubal undang-undang baru menggantikan ISA, banyak aspek perlu diberi perhatian dan ia perlu disemak dengan teliti oleh pihak yang berkaitan terutama KDN dan polis.

“Saya sendiri belum melihat draf terbaru undang-undang itu. Selepas menerimanya, ia akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dan kami komited untuk melakukan pindaan.

“Bagaimanapun, titah Yang di-Pertuan Agong hari ini (semalam) mengingatkan kita supaya keseimbangan antara kepentingan, hak dan transformasi dengan keselamatan nasional sentiasa perlu diberi keutamaan dalam dunia tanpa sempadan sekarang.

“Jenayah rentas sempadan adalah suatu isu dan kini sudah ada usaha serta kemahuan politik untuk melakukan perubahan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau tidak akan campur tangan dalam usaha menyiapkan draf undang-undang itu tetapi memberi jaminan ia akan disiapkan.

“Kita perlu tanya Peguam Negara (bila ia akan siap) kerana mereka yang membuat draf itu,” katanya.

 



Comments
Loading...