PAS Selangor abai kerusi Melayu?


Beliau mengakui pimpinan PAS perlu lebih menumpukan usaha di kawasan Melayu secara sistematik, dan bukan sekadar berpuas hati melancarkan program. “Tidak mudah menyusun aktiviti di kampung-kampung. Masyarakat juga tidak begitu terdedah dengan isu-isu mutakhir. Anak-anak muda juga satu cabaran besar,” tambahnya.

Ahmad Lutfi Othman, The Malaysian Insider

Khamis 1 Mac, saya, isteri dan wartawan Harakah Selangor, Saidah Hairan, ke Tanjong Karang dan kawasan sekitarnya, sehingga melewati kawasan Sungai Besar. Meskipun agak kerap ke sana menziarahi keluarga sebelah “orang rumah”, namun kunjungan kali ini lebih kepada tinjauan rambang Harakah terhadap situasi politik Selangor, negeri yang menjadi idaman Najib Razak.

 Setiap kali melewati pekan Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Panjang, ia  mengingatkan saya peristiwa lebih sepuluh tahun lalu, tentang pendedahan salahguna kuasa dan rasuah membabitkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

Bersama rakan-rakan yang pernah mengusahakan penerbitan tabloid politik tanpa permit, kami waktu itu mengutip maklumat dan menjejak bukti, termasuk untuk menyiapkan laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Tidak cukup dengan itu, saya bersama Dinsman dan pengarah Nasir Jani turut merakamkan pengambaran video di sekitar Tanjong Karang — termasuk rumah sewa Khir di Sekinchan, jalan termahal merentasi bendang dan juga mencari reban ayam — bagi memperkukuhkan dakwaan kami bahawa Khir terbabit dengan pelbagai bentuk penyelewengan dan korupsi.

Seingat saya, Ketua Pembangkang Dun Selangor, Dr Hasan Ali, yang juga Adun Sungai Burong 1999-2004, terbabit sama. Beliau turut membuat aduan rasuah Khir di Ibu Pejabat BPR, di Putrajaya.

Kini, ketika banyak pihak ghairah berbicara (dan berteka-teki) dengan kecenderungan politik pengundi Melayu, bagi saya, kerusi-kerusi yang ditandingi PAS di empat kawasan Parlimen, iaitu Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam, perlu didekati dengan lebih rapat.

Selepas tsunami politik empat tahun lalu, ramai beranggapan pengaruh PAS masih tersekat di kawasan majoriti pengundi Melayu dan kampung-kampung tradisi tertentu. Justeru, saya kira Harakah sebagai lidah rasmi parti wajar menjadikan kerusi-kerusi seumpama itu, termasuk di Selangor, sebagai kawasan fokus.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, di kawasan berkenaan, PAS bertanding lima kerusi Dun: Jeram, Sungai Burong, Sungai Panjang, Sabak dan Sungai Air Tawar. Manakala bagi kerusi Parlimen, PAS diberi kepercayaan untuk menyaingi BN di Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

Bagaimanapun PAS hanya menang di Kuala Selangor, melalui wakilnya, Dr Dzulkefly Ahmad, dengan majoriti 862 undi, tetapi tewas di semua kerusi lainnya.

“Kita perlu menunjukkan prestasi yang baik dalam PRU13 di lima kerusi Dun yang diserahkan kepada PAS itu,” kata seorang aktivis PAS yang saya temui. “Selain memperkukuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kita juga dapat menangkis tohmahan bahawa PAS hanya menang dengan sokongan pengundi bukan Melayu.”

Jadual 1 menunjukkan peratusan pengundi Melayu dan majoriti kemenangan calon BN untuk lima kerusi Dun berkenaan.

Pertemuan pertama diatur bersama Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Ustaz Mohamad Judi Sarjo di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Burong.

Beliau yang mudah diajak bersembang menekankan keyakinannya bahawa jentera parti akar umbi sudah bersedia berdepan misi getir menghadapi PRU13, khusus bagi memenangi kembali Dun Sungai Burong, sekali gus memberikan cabaran sengit kepada Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Negeri dan menteri kabinet, di Parlimen Tanjong Karang.

Namun begitu, Ustaz Judi mengakui, ia bukan tugas mudah, apatah lagi untuk berdepan pelbagai taktik dan strategi licik BN, termasuk penggunaan politik wang. Noh sebagai ahli Parlimen dan pembantu Najib di Selangor pastinya akan memperalatkan apa sahaja untuk mempertahankan kerusinya.

Jika Noh tewas di kampung halaman sendiri, bermakna operasi tawan Selangor berkecai dengan begitu mudah. Justeru, Ustaz Judi mengakui tanggungjawab besarnya, terutama untuk menggembleng setiap potensi kekuatan PAS Kawasan. Saya perhatikan, semangatnya untuk mencipta sejarah cukup tinggi.

Semasa makan tengahari dengan Dr Mohd Yusof Abd Wahab di sebuah restoran berdekatan kliniknya, di pekan Tanjong Karang, bekas calon PAS yang pernah menentang Noh pada 1999 ini, turut menaruh keyakinan bahawa perubahan boleh dicatatkan pada PRU13.

Saya mengenali Dr Yusof lebih sepuluh tahun lalu; kes berkaitan rasuah Khir Toyo yang menemukan kami. Seperti lazimnya, beliau agak kritikal terhadap persiapan jentera parti. Dr Yusof membayangkan program Umno ada kalanya lebih rancak dan berterusan berbanding PAS.

READ MORE HERE

 

 



Comments
Loading...