Kerajaan tiada maklumat janji niaga AirAsia, MAS batal


 

Kong Cho Ha

(Berita Harian) - Kementerian Pengangkutan belum menerima sebarang maklumat mengenai kemungkinan pembatalan janji niaga yang membabitkan pertukaran saham antara Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata buat masa ini pihaknya tidak boleh membuat komen mengenai perkara itu kerana belum menerima apa-apa maklumat mengenainya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu perlu diputuskan syarikat penerbangan terbabit bersama dengan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

“Buat masa ini, saya belum menerima sebarang maklumat mengenai laporan itu,” katanya selepas majlis perasmian pembukaan Simposium Kargo Dunia Keenam yang dianjurkan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya pula enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Baru-baru ini timbul spekulasi urus niaga pertukaran saham antara kedua-dua syarikat penerbangan itu akan dibatalkan.

Pada Ogos 2011, Tune Air Sdn Bhd iaitu pemegang saham terbesar AirAsia bersetuju memiliki 20.5 peratus ekuiti dalam MAS selepas memeterai perjanjian di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF) dengan Khazanah, iaitu pemegang saham terbesar MAS.

Sebagai tukaran, Khazanah yang masih menjadi pemegang saham terbesar MAS kini menguasai 10 peratus kepentingan dalam AirAsia.

Mengenai tindakan pemberhentian beberapa laluan oleh syarikat penerbangan tempatan, Cho Ha berkata, sebagai pembuat dasar industri penerbangan, pihaknya mengambil berat terhadap operasi laluan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, operasi laluan syarikat penerbangan tidak terhad, bagaimanapun mereka perlu memaklumkan kepada kementerian setiap kali mereka mengambil keputusan untuk membatal atau menambah mana-mana laluan.

“Pemberhentian yang dilaksanakan syarikat penerbangan tempatan baru-baru ini dibuat berdasarkan keputusan perniagaan masing-masing.

“Sebarang pertambahan dan pembatalan operasi laluan adalah keputusan perniagaan sesebuah syarikat penerbangan. Bagaimanapun, setiap kali mereka menamatkan atau menambah laluan, mereka perlu memaklumkan kepada kami,” katanya.

Terdahulu, Cho Ha menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Program Fret Terjamin antara IATA dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Malaysia.

Dalam ucapannya, beliau berkata, MASkargo, DCA, Malaysia Airports Holdings Bhd dan IATA bekerjasama rapat dengan peserta industri untuk memperkenalkan program berkenaan dan Malaysia adalah negara perintis bagi program fret terjamin.

“Hasil kerjasama rapat ini akan memberi faedah kepada banyak peserta industri kerana ia mengurangkan kesulitan dan kos keselamatan kargo udara, serta memastikan rantaian bekalan pemegang kepentingan beroperasi dalam hala tuju yang sama,” katanya.

Cho Ha menegaskan bahawa Malaysia komited bekerjasama dengan industri bukan saja dalam mengurangkan pelbagai kos tetapi juga menambah baik kecekapan dan kelancaran pergerakan penumpang serta fret di semua lapangan terbang.

 



Comments
Loading...