Umno dakwa Anwar guna ejen Yahudi gerakkan PKR


(FMT) – Yayasan Konrad Adeneur (KAF) membantu Ketua Umum PKR dari segi dana dan latihan modal insan, kata Umno Selangor.

SHAH ALAM: Umno Selangor hari ini mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan khidmat agensi Yahudi membantu PKR merancang kempen dan jentera Pilihan Raya Umum lalu (PRU12).

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zain Mohamed berkata agensi itu, Yayasan Konrad Adeneur (KAF) membantu Anwar dari segi dana dan latihan modal insan, selain menyerap masuk badan pemikir (think tank) melalui Institut Kajian Dasar (IKD).

KAF pada tahun 1950-an pernah membantu golongan neo konservatif Yahudi melalui American Jewish Committe (AJC) apabila Canselor Jerman Konrad Adenauer, Perdana Menteri Israel David Ben Gurion dan Pengerusi Jewish Claims Conference berpakat menghasilkan ‘Perjanjian Luxemburg’.

Mohd Zain dalam pendedahannya mendakwa berdasarkan sumber dalaman maklumat PKR sendiri, KAF turut memainkan peranan penting dalam memberikan dana pembangunan teknologi dan latihan kepada PKR.

Ini termasuklah pembabitan beberapa individu asing dalam sekretariat PKR yang memberi nasihat dan tunjuk ajar mengenai beberapa perkara seperti penyusunan propaganda, gerakerja Unit Khas DUN dan Pasukan Khas, Perisian SisMap (Sistem pangkalan data PKR) serta menggodam emel (terutamanya agensi kerajaan).

“KAF secara terbuka menaja Pakatan menghantar ahli-ahlinya menjalani latihan kepimpinan di German yang ditanggung sepenuhnya oleh KAF.

Kader asing

“Individu ini secara halus dilatih untuk menjadi kader asing yang berkhidmat dibawah PKR tanpa disedari mereka sendiri,” katanya dalam sidang media di Pejabat Umno Selangor di sini hari ini.

Selain KAF, Mohd Zain mendakwa Anwar turut mendapat bantuan Institut Demokratik Kebangsaan untuk Hal Ehwal Antarabangsa (NDI) menyediakan buku manual bagi menghadapi pilihan raya kepada petugas PKR dan menggulingkan kerajaan dengan cara tidak demokratik.

Menurut beliau, manual yang dinamakan buku perancangan kempen politik hasil tulisan Stephanie Lynn diterjemahkan dalam bahasa Melayu dan dibuat khusus untuk menyebarkan dakyah kononnya Malaysia tidak mempunyai kebebasan media dan beragama.

“PKR menganggap buku dari NDI ini sebagai kitab mereka untuk menghadapi pilihan raya nanti,” katanya.

Read more at: http://www.freemalaysiatoday.com/2012/03/13/umno-dakwa-anwar-guna-ejen-yahudi-gerakkan-pkr/

 



Comments
Loading...