Anwar-Raja Petra: Daripada Kawan Kepada Lawan


Perbalahan Anwar-Raja Petra itu tidaklah menghairankan kerana dalam kerjaya politik Anwar, kawan boleh menjadi lawan dan lawan menjadi kawan dalam sekelip mata.

Anwar-Raja Petra

Kadir Jasin

Sesiapa saja yang mengenali rapat Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim dan fugitive blogger (blogger lari daripada undang-undang) Raja Petra Raja Kamaruddin, tentu boleh merasakan keunikan pertikaman lidah yang sedang berlaku antara mereka.

Mereka pernah menjadi rakan akrab lama sebelum Anwar melancarkan gerakan reformasi setelah dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998. Raja Petra adalah antara penggerak dan penyokong tegar gerakan itu.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Raja Petra adalah antara pengkritik utama beliau di kalangan pengamal media baru.

Apabila Abdullah ditekan agar bersara awal dan digantikan oleh Mohd Najib Abdul Razak, Raja Petra dari awal lagi kritikal terhadap Mohd Najib. Beliau melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Mohd Najib.

Sekarang beliau menghalakan serangan terhadap Anwar pula. Dalam episod terbaru, beliau menggelar Anwar “chicken” atau ayam betina. Dalam ungkapan bahasa Inggeris, ayam betina adalah seorang pengecut.

Raja Petra menuduh Anwar meminta supaya beliau (Raja Petra) dikeluarkan daripada senarai ahli panel forum mengenai isu global di Kent, England hari ini.

Kalau konotasi ayam betina negatif dalam bahasa Inggeris, ia lebih tidak positif dalam bahasa Melayu jalanan. Ayam, dalam lingo jalanan turut dirujukkan kepada pelacur. Justeru itu, ungkapan “a chicken” yang digunakan oleh Raja Petra itu sangatlah tidak elok bagi Anwar.

Soalnya, mengapakah percakaran dua bekas kolaborator itu berlaku?

Adakah Raja Petra tidak lagi komited kepada reformasi Anwar atau beliau cuba mencari dahan baru untuk bergayut?

Dalam berita yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, Raja Petra dipetik sebagai berkata, kalau Anwar takut berbahas dengan beliau, bagaimanakah beliau hendak berbahas dengan Mohd Najib.

Raja Petra mengajak Anwar berbahas dengan beliau dahulu sebelum berbahas dengan Mohd Najib.

Pada akhir-akhir ini Raja Petra melemparkan pelbagai tuduhan berat terhadap Anwar, termasuk rasuah dan salah guna kuasa ketika beliau dalam kerajaan.

Bagi mereka yang tahu perhubungan akrab di antara Anwar dan Raja Petra serta tindak-tanduk Anwar ketika di dalam kerajaan, tuduhan rasuah dan salah guna kuasa itu berat serta tidak membantu Anwar pada saat beliau sedang cuba mengukuhkan kedudukannya sebagai ketua de facto Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ini.

Dari sudut pandangan lain pula, perbalahan Anwar-Raja Petra itu tidaklah menghairankan kerana dalam kerjaya politik Anwar, kawan boleh menjadi lawan dan lawan menjadi kawan dalam sekelip mata.

 



Comments
Loading...