Pakatan Kedah: 6 kerusi jadi rebutan PKR, DAP


Kerusi berkenaan ialah Bakar Arang, Gurun, Derga, Lunas, Kota Darulaman dan Bukit Selambau, kata seorang bekas pemimpin PKR negeri.

(Free Malaysia Today) – Enam kerusi negeri di Kedah dijangka menjadi rebutan antara PKR dan DAP menjelang pilihan raya umum ke 13.

Kerusi berkenaan ialah Bakar Arang, Gurun, Derga, Lunas, Kota Darulaman dan Bukit Selambau, kata seorang bekas pemimpin PKR negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak menegaskan PAS akan bertanding 24 kerusi manakala 12 lagi untuk PKR dan DAP.

“DAP mahu mendapatkan semula dua  kerusi yang mereka tandingi dalam pilihan umum ke 11 pada tahun 2004.

“Kerusi-kerusi itu ialah Gurun dan dan Bukit Selambau yang telah ditandingi PKR dalam pilihan raya umum 2008,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, DAP bertanding dua kerusi – Kota Darulaman dan Derga  – menang di Kota Darulaman.

PAS tanding 24 kerusi

Pada 2008, PAS bertanding 24 kerusi negeri dan menang 16, PKR bertanding 11 tetapi menang empat tetapi dua daripada mereka kemudian menjadi Adun Bebas.

DAP menang satu kerusi iaitu Kota Darulaman, manakala baki 14 kerusi lagi dipegang oleh BN.

DAP berkata  parti itu mahu bertanding  lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum kali ini berbanding satu kerusi Kota Darulaman pada 2008.

Bekas pemimpin PKR itu menambah,  rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan PKR sering gagal kerana PKR mahu lebih banyak kerusi berbanding DAP.

“Semasa saya menjadi pemimpin PKR Kedah dulu, PKR Pusat meminta saya mendapatkan lebih banyak kerusi di negeri ini.

“Saya tidak nampak pembahagian kerusi ini akan selesai segera sebaliknya kemungkinan besar berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan DAP,” tambah beliau.

 



Comments
Loading...