Kerajaan, SPR kaji semua 22 syor


Najib Razak

(BH) – Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengkaji semua 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang diluluskan Dewan Rakyat, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan seperti pihak lain juga mahu proses pilihan raya yang bersih dan adil kerana tidak mahu dipilih kononnya berdasarkan penipuan. “Tiada apa hendak kita disembunyikan,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-20 yang berakhir di sini, semalam.

Ditanya sama ada semua syor dikemukakan jawatankuasa itu akan dilaksanakan, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti syor dicadangkan dan kemungkinan tidak semua dilaksanakan.

Katanya, ia juga bergantung kepada kerajaan dan SPR untuk mengambil kira apa yang boleh dilaksanakan dalam bidang kuasa kerajaan.

“Kerajaan akan membuat keputusan mengenai apa yang perlu dilakukan, namun apa yang penting kita tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Kita mahukan pilihan raya yang adil dan bersih… kita tidak mahu dipilih berdasarkan sebarang unsur penipuan dalam pilihan raya.

“Kita tengok dulu. kita perlukan masa untuk meneliti cadangan sama ada ia selari dengan matlamat penubuhan jawatankuasa berkenaan. Saya yakin kita ada pertimbangan positif kerana walaupun apa pun, kita mahu proses ini dilihat secara positif,” katanya.
Beliau juga kecewa dengan tindakan pembangkang menimbulkan kekecohan ketika perbahasan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Katanya, tujuan penubuhan jawatankuasa berkenaan adalah untuk membincangkan segala proses berkaitan pilihan raya di negara ini dan sejajar dengan matlamat mengadakan pilihan raya yang adil dan bersih.

“Kita menunjukkan keikhlasan dengan menubuhkan PSC yang ahli terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang… segala isu patutnya sudah diketengahkan. Saya difahamkan banyak perkara dibincangkan dan mereka (wakil pembangkang) terima, tapi bila dibentang secara rasmi, timbul pula kekecohan dalam dewan,” katanya. 

 



Comments
Loading...