Bersediakah untuk dikritik?


 

Cumanya apa yang menyedihkan kebanyakan daripada kita sering menyalah tafsir bahawa kritikan pedas sebagai sesuatu yang mencabar autoriti. Apa kena-mengenanya kritikan dengan mencabar autoriti sedangkan niat dan mesej daripada kritikan itu adalah murni? 

Markus Lim, The Malaysian Insider

Kritikan sering kali dilihat sebagai sesuatu yang negatif lebih-lebih lagi apabila kritikan yang dilontarkan itu berunsur peribadi dan spekulatif.

Ia juga dilabel sebagai sesuatu yang destruktif apabila cara, pendekatan dan nada mengkritik terhadap pihak lain tidak kena pada tempatnya.

Justeru, apakah bentuk kritikan yang paling sesuai digunakan? Wajarkah kritikan dilontarkan? Bagaimana pula kita boleh meyakinkan orang yang dikritik untuk memahami niat dan tujuan kritikan tersebut dibuat?

Realitinya, bukan semua daripada kita yang sanggup untuk dikritik atau ditegur. Bagi mereka yang mempunyai ego dan hidung yang tinggi, kritikan sedemikian ibarat senjata yang mengguris ego mereka.

Kumpulan individu inilah yang sering beranggapan bahawa segala apa yang dicakap adalah betul-betul belaka manakala kumpulan lain pula adalah salah. Jauh sekali juga mereka akan mengakui kesalahan mahupun memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukannya.

Bagi golongan ini, memohon maaf itu merupakan tanda pengakuan akan kelemahan diri mereka. Sesuatu yang tidak mungkin dan boleh diterimanya. Keengganan untuk dikritik banyak didorong oleh ketakutan mereka untuk dilabel sebagai lemah.

Dari segi psikologinya, mereka sudah mempunyai sikap untuk tidak menerima apa-apa pandangan dan dalam terma Bahasa Inggeris, ia dipanggil sebagai “mental block dan siege mentality.”

Apa yang pasti, usaha untuk mengubah mereka adalah amat sukar. Kerana keengganan untuk dikritik jugalah, banyak perkara yang memerlukan penambahbaikan tidak dapat dilaksanakan.

Dan ini membawa kita kepada kes kritikan yang dilemparkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini yang berakhir dengan penggantungan beliau selama dua tahun enam bulan.

Menurut laporan media, Annuar telah melanggar statut FAM Artikel 88 pada 12 Februari lepas apabila membuat kenyataan berbaur negatif terhadap skuad bola sepak negara. Beliau juga didapati bersalah kerana melanggar titah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 4 Februari untuk tidak membuat sebarang kenyataan.

Walaupun Annuar telah dibuktikan bersalah oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM, namun perkara ini harus dinilai dari pelbagai sudut khususnya niat kritikan itu dibuat dan bagaimanakah caranya kritikan itu dilontarkan. Dari segi niatnya, Annuar sebenarnya tidak harus dipersalahkan.

Pertama, dari aspek sebagai pegawai tertinggi FAM dan peminat bola, beliau pada dasarnya mempunyai hak untuk berbuat demikian. Tidak salah untuk mengkritik kerana hak bersuara merupakan sebahagian daripada hak yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengkritik kerana mengambil berat dan sayang kepada sukan bola sepak negara. Beliau mengkritik kerana mahu melihat penambahbaikan dan peningkatan dalam skuad bola sepak negara. Mesej beliau cukup jelas iaitu skuad bola sepak negara tidak boleh terlalu berpuas hati dengan pencapaian semasa.

Ternyata, memenangi pingat emas Sukan SEA untuk dua edisi berturut-turut dan Piala AFF Suzuki adalah permulaan yang baik tetapi belum mencukupi untuk meletakkan skuad bola sepak negara setanding dengan gergasi bola sepak yang lain.

Mungkin ada sesuatu yang berjaya dilihat Annuar yang tidak dapat dilihat oleh orang lain. Sebagai orang lama dalam FAM, beliau sudah pasti mempunyai sebab-musabab untuk mengeluarkan kritikan-kritikan itu. Takkanlah Annuar begitu leka untuk mengeluarkan kritikan berkenaan hingga mengakibatkan kedudukannya tergugat.

Melihat kepada kelantangan beliau itu, barangkali beliau sebenarnya sudah bersedia dari awal lagi untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran daripada tindakan beliau mengkritik itu.

Tetapi jika dinilai pula dari aspek bagaimanakah kritikan itu dilontarkan, Annuar mungkin terlepas pandang bahawa dalam tindakan mengkritik itu, beliau juga merupakan sebahagian daripada anggota dalam FAM. Untuk seorang anggota FAM mengingkari arahan FAM sendiri, ia nampaknya tidak kena pada tempatnya.

Titah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah bahawa kebebasan bersuara dalam sesebuah organisasi yang mana seseorang merupakan ahli dalam organisasi berkenaan, perlulah mengikut undang-undang yang digariskan oleh organisasi terbabit, ada asasnya.

Bercakap benar adakalanya tidak begitu disenangi kerana segala temberang buruk akan terbongkar. Pepatah Inggeris ada menyebut “The truth hurts” dan benar sungguh pepatah berkenaan.

Malah penulis percaya semua sektor di negara ini tidak kiralah dunia sukan, politik, mahupun pendidikan memerlukan orang yang berani untuk menyalurkan idea-idea bernas lagi radikal selain berani mengkritik. Tidak salah untuk mengkritik selagi kritikan itu adalah kritikan yang membina.

Cumanya apa yang menyedihkan kebanyakan daripada kita sering menyalah tafsir bahawa kritikan pedas sebagai sesuatu yang mencabar autoriti. Apa kena-mengenanya kritikan dengan mencabar autoriti sedangkan niat dan mesej daripada kritikan itu adalah murni?

Bayangkan apa akan terjadi jika semua orang tidak berani untuk mengkritik dan hanya duduk diam sahaja? Akhirnya nanti, kita akan mempunyai sebuah masyarakat yang pasif dan tidak endah terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya.

Apa yang tidak kena haruslah ditegur dan diperbetulkan demi kepentingan generasi akan datang. Kepada mereka yang ditegur itu, terimalah seadanya kritikan dengan hati yang terbuka. Penulis yakin, di sebalik kritikan itu terselit hikmah berharga yang boleh dijadikan sebagai pedoman hidup.

Jangan sesekali menutup telinga anda hanya kerana kritikan-kritikan itu tidak sedap untuk didengar. Sudah sampai masanya untuk mereka yang ditegur mendengar dan menerima kritikan-kritikan pedas. Melalui kritikan-kritikan pedas sebeginilah, kita akan belajar sesuatu.

Oleh yang demikian, bersediakah anda untuk dikritik?

 



Comments
Loading...