PAS seperti ‘chameleon’ – Wan Junaidi


Sebelum ini parti yang kononnya berjuang hendak membentuk sebuah negara Islam hari ini berpaling arah semata-mata kerana kepentingan kuasa politik. 

(Free Malaysia Today) – KUCHING: Hasrat Parti Islam Semalaysia (PAS) meletakkan calon Iban bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 di Sarawak mengambarkan bahawa parti pembangkang itu tidak konsisten dengan apa yang mereka perjuangkan selama ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sedangkan sebelum ini parti yang kononnya berjuang hendak membentuk sebuah negara Islam hari ini berpaling arah semata-mata kerana kepentingan kuasa politik.

Beliau bagaimanapun yakin, putar-belit pembangkang itu tidak sesekali akan mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN).

“Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) pernah menegaskan tidak mungkin orang bukan Islam menjadi pemimpin Islam pada masa depan, namun tindakan parti meletakkan calon Iban bertanding pada pilihan raya ini dilihat sangat bertentangan dengan pendirian mereka.

“Mereka (PAS) umpama  chameleon (sesumpah) kerana haiwan ini boleh bertukar warna mengikut keadaan persekitaran apabila sudah terdesak untuk menyelamatkan diri ….sama seperti dalam situasi parti pembangkang ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahed bahawa partinya akan meletakkan calon Iban untuk bertanding merebut kerusi Parlimen di Sarawak.

PAS memaklumkan sudah menyenarai pendek beberapa calon berpotensi termasuk seorang daripadanya merupakan calon berbangsa Iban akan bertanding di kawasan Parlimen Sibuti.

Sistem perparitan

Terdahulu, kehadiran Ahli Parlimen Santubong itu membawa khabar gembira buat penduduk apabila kerajaan meluluskan RM600,000 bagi membina projek naik taraf sistem perparitan masing-masing di Kampung Bintawa Hilir, Bintawa Tengah dan Bintawa Hulu.

 
Jelasnya, daripada peruntukan sebanyak RM600,000, ketiga-tiga buah kampung itu masing-masing menerima sejumlah RM200,000 bagi projek tersebut yang akan dilaksanakan pada tahun ini. 
 
 


Comments
Loading...