PAS kata Hadi tidak hina kaum Iban tapi BN


TG Hadi Awang

Pemimpin PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing pernah mengeluarkan kenyataan `jangan lawan tauke.’

(FMT) — PAS mendakwa Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak menghina kaum Iban, sebaliknya pemimpin BN yang berbuat demikian.

Pemimpin PAS Sarawak, Jofri Jaraiee berkata, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing pernah mengeluarkan kenyataan `jangan lawan tauke.’

“Beliau (Masing) mengganggap rakyat sebagai kuli dan pemimpin BN sebagai tauke yang harus ditaati dan dipatuhi,” kata beliau.

Jofri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Masing yang mendakwa Presiden PAS, telah menghina kaum Iban.

Abdul Hadi dilaporkan telah mengeluarkan kenyataan pengundi Iban berpihak kepada BN kerana mereka masih memakai cawat selepas pilihanraya kecil parlimen Batang Ai pada April 2009.

`Bukan hina’

“Ini bukan bermaksud penghinaan terhadap kaum Iban tetapi ini menunjukkan bagaimana masyarakat Iban di pendalaman diperbodohkan oleh pemimpin BN dengan janji kosong.

“Kenyataan ini sengaja diulang-ulang oleh pemimpin BN untuk menghasut kaum Iban supaya membenci PAS,” tambah Jofri.

Menurut Jofri, kaum Iban dan orang Sarawak tidak perlu takut dan terpengaruh dengan tuduhan serta fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin BN terhadap PAS.

Katanya, mereka  ramai yang terpelajar dan dapat menilai sendiri kenyataan dan tuduhan pemimpin BN itu.

Beliau berkata, mereka bukan boleh diperbodohkan seperti orang yang tidak mempunyai maklumat.

“Hanya mereka yang ada kepentingan dan mereka yang jahil saja menentang PAS di Sarawak,” katanya lagi.



Comments
Loading...