Pasca 428: Cukupkah BERSIH untuk rakyat?


 

Adam Adli, Merdeka Review 

Walaupun sudah lebih sehari berlalu ketika artikel ini ditulis, ternyata memori BERSIH 3.0 terlalu kuat untuk dipadam dari kotak maklumat semula jadi saya.  Segala macam pemandangan, pengalaman, dan beribu perasaan yang bercampur-baur masih bermain dalam pemikiran saya.  Saya mampu sifatkan, BERSIH 3.0 adalah pengalaman penting buat anak-anak muda zaman ini selepas REFORMASI membentuk peri laku dan sifat diri anak-anak muda di zaman tersebut menjadi siapa mereka hari ini.


Saya masih keliru dan cuba untuk mengatur kembali setiap ingatan saya sepanjang beberapa jam di Kuala Lumpur terutama sekali di sekitar Dataran Merdeka, Sogo, dan beberapa kawasan panas yang lain.  Sekali lagi saya harus akui, walaupun sebelum ini hampir dua minggu saya dan rakan-rakan aktivis yang lain telah berkampung di Dataran Merdeka, apa yang berlaku pada 28 April yang lalu sama sekali tidak sama, dan hampir-hampir memadam semua kisah yang berlaku dalam dua minggu sebelum BERSIH 3.0.  BERSIH 3.0 adalah pengalaman gila dan mengubah pandangan serta sentimen saya terhadap bentuk perubahan yang sedang berlaku dalam Negara ini.

Malam sebelum BERSIH 3.0, selepas bertemu dengan rakan-rakan aktivis lain di Universiti Malaya, saya bergegas ke Sentral Kuala Lumpur untuk menyambut hampir 30 orang rakan-rakan lain dari pelbagai ceruk.  Sebilangan besarnya adalah pelajar dari UPSI sendiri, dan selebihnya rakan-rakan rapat dari kampung dan pantai timur.  Mencari tempat penginapan pada malam BERSIH sepatutnya sukar, namun saya temui tempat yang sesuai selepas bertanya kepada dua hotel berdekatan.  Kerja malam itu dipermudahkan Tuhan.  Rancangan asalnya adalah berkhemah di Dataran Merdeka namun terpaksa dibatalkan apabila hampir mustahil untuk memacak khemah dan bertahan sehingga pagi di sana.  Usai sahaja mengurus tempat menginap, kami turun ke Dataran Merdeka.

Saat ini, saya mulai merasakan sensasi yang tidak mampu saya gambarkan.  Ribuan anak-anak muda sudah pun berpesta di sana.  Seolahnya, tidak sempat untuk menunggu esok pagi.  Kuala Lumpur tidak sama lagi.  Saat itu saya tahu, apabila sebelum ini, kita sering menggambarkan bahawa anak muda menuntut perubahan hanyalah retorika politik untuk memecah keyakinan lawan, namun malam itu, apa yang saya lihat membuktikan yang slogan “anak muda bangkit dan lawan” bukan lagi retorika politik.  Ribuan manusia yang sanggup berhimpun di hadapan kawat berduri pada jam 3.00 pagi, tanpa dirancang, tanpa mendapat “arahan”, apa lagi upah dan duit kopi bukanlah satu perkara yang harus kita pandang enteng.  Saya pulang dengan hati yang puas dan tertunggu-tunggu hari esok.

Jam 9.00 pagi, kami sudah pun bersiap-siap untuk keluar dari hotel.  Angka yang bersama-sama dalam bilik yang dikongsi sudah mula meningkat.  Awal sebelum subuh beberapa lagi rakan dari jauh tiba.  Jam hampir 10.00 pagi, kami keluar dari hotel dan mula bergerak secara berkumpulan dari Brickfields ke Sentral Kuala Lumpur.  Tidak seperti BERSIH 2.0 yang lalu, kami terpaksa menyusup seorang diri untuk ke tengah kota, kali ini tanpa rasa risau kami melangkah keluar dengan berkemeja BERSIH.  Apa yang dilihat malam sebelumnya meyakinkan saya bahawa tiada siapa perlu bersembunyi lagi.  Biar masyarakat membaca setiap mesej yang dipapar di atas kemeja kami.  Sentral Kuala Lumpur panas!  Tidak perlu saya gambarkan bagaimana keadaan di situ, saya pasti ramai yang sudah melihatnya sendiri.  Terpapar terang dan jelas wajah-wajah demonstran yang selama ini tersembunyi di tengah khalayak harian.  Dahulu, ketika 9 Julai 2011, wajah-wajah ini adalah wajah-wajah yang gusar dan sedaya upaya cuba untuk menyembunyikan niat mereka berada di tengah kota, tapi kali ini, tidak sama lagi.  Benar telahan saya malam tadi, keadaan sedang berubah.  Sesuatu yang lebih besar bakal berlaku.

Apa yang berlaku di Dataran, Masjid Negara, Pudu, Sogo, dan banyak lagi tempat lain termasuklah banjaran Himalaya dan dasar laut Acheh sekali pun telah kita ketahui.  Segala macam versi cerita telah kita dengari.  Saya sendiri faham dan sedar, 28 April tidak sama dengan 9 Julai.  Jika 9 Julai, berita paling buruk yang hinggap di telefon bimbit saya selepas kematian Allahyarham Burhanuddin adalah rakan kepada rakan saya ditahan di Pulapol, namun 28 April, saya tidak mampu bayangkan apa lagi berita yang akan masuk ke dalam telefon bimbit saya.  Berada di barisan hadapan, saya saksikan dengan jelas segala-galanya.  Menjadi antara yang terakhir meninggalkan kota Kuala Lumpur, saya juga menyaksi dan mendengar hampir semua kesan-kesan atau “aftermath” perjuangan hari itu.

Ramai rakan dan lawan yang menyifatkan 28 April sebagai hari yang gagal buat semua.  Saya hampir menganuti sentimen yang sama, hingga akhirnya saya berfikiran sebaliknya.  Saya sedang menyaksikan masa depan dan realiti masyarakat.  Ada yang cuba menyifatkan kemarahan dan aksi agresif demonstran sebagai hanya tindakan lepas geram masing-masing atas masalah peribadi di rumah dan pejabat, bukan untuk BERSIH; saya tidak melihatnya begitu.  Jangan pandang hina kemarahan rakyat.  DUDUK BANTAH adalah pelan asal, dan hampir berjaya.  Tiada rakyat yang menyumpah seranah sesiapa pun ketika semua masih lagi sedang duduk dan bantah awal hari itu.  Segala-galanya ceria dan santai.  Semuanya bertukar rupa hanya selepas tindakan tidak bijak pihak berkuasa yang mendapat arahan atasan.  Siapa orang atasan?  Semestinya bukan tukang cuci di Blok D1 dan D2 Putrajaya, bukan juga pembancuh kopi di Perdana Putra mahupun di Seri Perdana, apa lagi makcik kantin di Bukit Aman.

Ada yang mengatakan juga, BERSIH 3.0 sudah lari dari matlamat asal.  Protes duduk bantah sepatutnya adalah untuk menuntut pembersihan anasir jahat dari proses pilihan raya, namun bertukar jadi himpunan untuk mencaci maki kerajaan dan berlawan dengan penguasa.  Wahai!  Antara kita tidak sedar, sekali lagi kita gagal membaca signal yang dihantar oleh rakyat.  Apa yang berlaku, tidak ada seorang pun dari demonstran yang hadir hari itu mendapat surat arahan atau pun pekeliling yang menjadi order kepada mereka.  Menjadi hak mereka untuk memuntahkan ketidak puasan hati mereka.

Pokok pangkalnya, kita sepatutnya sudah mampu untuk membaca apa yang tersirat di sebalik segala yang berlaku 28 April lalu.  Mesejnya mudah: rakyat sudah muak dan kecewa dengan pemerintah, serta sistem yang mengangkat pemerintah itu sendiri.  Jika BERSIH adalah bertujuan untuk menambah baik dan memulihkan sistem tersebut, rakyat yang turun 28 April kemungkinan menyimpan hasrat yang lain.  Sistem sudah tidak boleh lagi dipercayai.  Sistem ini sudah gagal.  Pilihan raya Negara ini tidak mampu menjadi saluran bersuara buat rakyat.  Pilihan raya akan terus menjadi sijil watikah palsu untuk penguasa.  BERSIH 3.0 sememangnya bukan lagi hari untuk rakyat menunjukkan rasa cinta dan sayang kepada sistem yang dirosakkan oleh penguasa, sebaliknya BERSIH 3.0 adalah hari rakyat untuk menunjukkan “jari tengah” kepada penguasa dan sistem yang mencabuli hak mereka.  Ini realiti yang wajib kita akui.  Ini realiti yang kita tidak boleh lagi terus tolak tepi. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...