SAMM Buka Talian SMS Untuk Mangsa Kezaliman Pihak Berkuasa
Secebis kesempatan diambil oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat yang hadir dalam apa jua bentuk sokongan bagi menjayakan perhimpunan BERSIH 3.0. Tahniah rakyat Malaysia, himpunan terbesar dalam sejarah negara tercipta 28 April 2012.
SAMM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan BERSIH 3.0, menyedari pelbagai kesulitan dan kesengsaraan dilalui oleh semua peserta himpunan di atas ketelanjuran pihak berkuasa yang bukan sahaja gagal memastikan keamanan, tetapi telah merusuh di atas khabar angin yang sengaja diatur. Akhirnya ramai peserta yang mendapat kecederaan akibat dirempuh dan dibelasah oleh pihak polis yang ‘hilang pedoman’. Ramai juga peserta yang ditangkap dan dibawa ke Pulapol.