‘Elok Azmin ziarah ibu dia’


Menurut Wan Azizah beliau sentiasa bertemu dengan ibu Azmin, Che Tom Yahaya di rumah wanita terbabit. 

(Free Malaysia Today) – Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menasihati Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali agar menjalankan tanggungjawab sebagai anak untuk menziarahi ibunya yang kini mulai melahirkan rasa kecewa terhadap pemimpin kanan parti tersebut.

Menurut Wan Azizah beliau sentiasa bertemu dengan ibu Azmin, Che Tom Yahaya di rumah wanita terbabit.

“Eloklah sebagai anak dia (Azmin) pergi melawat dan ziarahi ibu dia…itukan tanggungjawab anak. Saya biasa jumpa ibu Azmin dirumah
dia sendiri,” katanya ketika ditemui di majlis Makan Malam bersama Pemimpin Pakatan Rakyat di i-City malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ibu Azmin yang disiarkan TV3 semalam berhubung tingkah laku pemimpin tersebut.

Che Tom semalam melahirkan rasa kecewa terhadap Azmin yang menurutnya sudah jauh berubah.

Menurut Che Tom, dia dan keluarga masih mengharapkan anaknya pulang ke pangkuan keluarga dan hubungan bersama Umi Hafilda (adik Azmin) terjalin kembali.

Ketika ditanya mengenai skandal seks yang terpalit ke atas Azmin, Wan Azizah menyifatkan ia satu lagi helah politik yang didakwa dimainkan oleh Umno.

“Ini adalah satu cara Umno dan saya telah melalui hal ini. Kalau ikut syarak kena ada empat saksi, kena bawa mengikut cara Islam. Jika mahu menegakkan hal begini ia satu helah politik yang tidak boleh diterima.

“Jika nak dibandingkan dengan Presiden MCA pun ada juga, namun (Soi Lek) mengaku. Bukan nak mengutamakan isu ini tapi politik tidak seharusnya begini,” jelas beliau.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Dr Tan Seng Giaw, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Abdul Latif Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Majlis yang dianjurkan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan adalah untuk mengutip dana bagi negeri sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

 



Comments
Loading...