Muzakarah: Nik Aziz, Hadi bercanggah


Menurut Presiden PAS, muzakarah dengan Umno adalah satu agenda politik, kerana (Umno) bukannya ikhlas. 

(Free Malaysia Today) – Walaupun Datuk Nik Aziz Nik Mat setuju mengadakan muzakarah dengan Umno, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan sebaliknya.

Menurut Abdul Hadi, muzakarah dengan Umno adalah satu agenda politik, kerana (Umno) bukannya ikhlas.

“PAS tidak akan bermuzakarah dengan Umno kerana ia mainan politik apabila menjelangnya pilihan raya umum sejak tahun 80-an,” katanya.
Abdul Hadi menegaskan demikian dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di ibu negara hari ini.

Kenyataan itu bertentangan dengan Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS yang menyatakan kesediaan bermuzakarah dengan Umno.

Sebaliknya, menurut menurut Presiden PAS itu, ia hanya untuk NGO bagi menjelaskan dakwaan sebelum ini yang menuduh PAS sudah tersasar daripada matlamat perjuangan Islam sebenar.

Perbincangan dengan NGO

“Masa tu saya nyatakan PAS sedia mengadakan perbincangan dengan NGO yang menuduh PAS dengan tuduhan itu tetapi telah disalah tafsir.
“Muzakarah dengan Umno itu tidak timbul,” katanya lagi.

Namun katanya gagal dilaksanakan selepas tamatnya pilihan raya kerana keengganan Umno untuk meneruskannya walaupun beberapa NGO Islam termasuk ABIM dan Arqam pernah menawarkan diri untuk menganjurkannya.

“Ini cerita lama kita tak mahu ulang balik,” katanya yang hanya mahu PAS tumpukan perhatian melawan Umno sahaja dalam pilihan raya nanti.

Menurut Hadi, beliau lebih senang jika perbincangan dengan Umno tertumpu kepada isu pilihan raya yang bersih mengikut etika demokrasi sebenar.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Datuk Mustafa Ali berkata PAS akan mengadakan program seminar kepada semua NGO dan parti termasuk yang bukan Islam tentang persepsi sebenar parti itu.

Katanya, seperti yang diputuskan mesyuarat biro politik tadi PAS akan menjelaskan tentang Islam dan perananya dalam membangunkan masyarakat dan negara dalam masa yang akan ditentukan nanti.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...