Dr M: Tunjuk perasaan ganas jika Pakatan kalah PRU 13


Bekas Perdana Menteri meramalkan parti-parti pembangkang akan huru-harakan negara jika tidak dapat menang dan mengambil-alih kerajaan pusat pada pilihan raya umum ke-13. 

(Bernama) – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tunjuk perasaan Bersih “yang besar dan ganas” adalah persediaan parti pembangkang jika parti lawan itu gagal memenangi pilihanraya umum ke-13.

“Kekalahan mereka (parti pembangkang) akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan.

“Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka. Sudah tentu sebelum kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demo ganas dan huru-hara.

“Perancangan dan perusahaan akan diganggu mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan. Kestabilan negara akan tergugat. Polis dituduh melakukan keganasan supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan, katanya dalam coretan blog beliau hari ini.

Dalam keadaan ini, katanya kuasa-kuasa asing akan mengecam perajaan pilihan rakyat kerana kononnya mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo dan Malaysia akan dicap sebagai ‘police state’.

Mahathir berkata memandang kepada sejarah Malaysia merdeka dan keputusan- keputusan pilihanraya, parti lawan tentu kurang yakin mereka akan menang PRU 13 dan mendirikan kerajaan pusat.

“Cara demokrasi tidak boleh menjayakan mereka. Melihat penggulingan kerajaan di negara-negara Arab, tentulah terlintas di hati pemimpin-pemimpin parti lawan bahawa cara-cara demonstrasi ganas dan berpanjangan lebih mungkin memberi kejayaan kepada cita-cita mereka,” katanya.

Beliau berkata akan tetapi parti-parti pembangkang terlebih dahulu perlu menunjuk kepada rakyat, dan lebih utama kepada dunia luar bahawa kerajaan dibawah Barisan Nasional di Malaysia adalah zalim dan menindas rakyat seperti Kerajaan-Kerajaan kuku besi Negara Arab.

“Maka diciptalah Bersih. Kononnya pilihanraya di Malaysia ditipu oleh kerajaan pusat, walau apapun bukti bahawa di Malaysia parti lawan boleh menang dan telah menang berkali-kali jika rakyat menyokong mereka dan sebaliknya di Negara Arab bukan sahaja Kerajaan yang digulingkan tidak pernah kalah tetapi pilihanraya memberi kemenangan 99% kepada pemerintah, masih juga didakwa pilihan raya umum ditipu oleh kerajaan Malaysia.

“Kerajaan bertindak untuk meneluskan lagi proses pilihanraya mengikut kehendak parti lawan. Tetapi masih juga dituduh yang Kerajaan menipu. Banyaklah lagi tuduhan kezaliman dan kemungkaran yang dilempar kepada Kerajaan semata-semata untuk memburukkan imej kerajaan,” katanya.

Katanya kerajaan tadbiran Barisan Nasional telah memberi banyak nikmat dan kebahagiaan kepada rakyatnya dan telah diiktiraf sebagai negara yang termaju di antara negara membangun.

Mahathir berkata Malaysia yang membangun dengan pesat akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya.

“Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat untuk memilih kerajaan. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan.

“Inilah yang akan berlaku kerana parti bukan Barisan Nasional kecewa tidak dapat ke Putrajaya. Jika dengan cara ganas mereka, mereka berjaya merebut kuasa, percayalah demokrasi akan dihapuskan dan nasib yang buruk akan menimpa negara tercinta ini,” katanya.

 



Comments
Loading...