Umno sentiasa buka pintu muzakarah, kata Hishammudin


Beliau berkata, keputusan PAS membatalkan hasrat muzakarah dengan Umno sudah dijangka.

(Bernama) – Umno dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional sentiasa terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk parti lawan jika ia berkait rapat dengan kepentingan nasional, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.

Mengulas keputusan PAS yang dilapor membatal hasrat bermuzakarah dengan Umno, Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keputusan itu telah dijangka.

“Ini bukan perkara baru malah hasrat ini sudah banyak kali lahir sejak dari dahulu lagi. Ia dibuat untuk mengalih pandangan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan pasukan sorak sempena sambutan Hari Belia Negara di sini hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas laporan akhbar yang menyebut bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatal hasrat muzakarah PAS-Umno dengan alasan ia bertentangan dengan keputusan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menolak langkah itu.

 



Comments
Loading...