Politik Ketakutan Menjelang PRU-13: Tangan Ghaib Di Sebalik Institusi Polis Menghalalkan Budaya Samseng?
Campur tangan politik telah meninggalkan institusi polis tidak berkesan untuk menangani apa-apa ancaman dan menjaga keamanan serta keselamatan rakyat dalam negara. Institusi polis sudah hilang kredibiliti mereka apabila mereka gagal untuk mengekalkan pendirian politik neutral dan tidak berpolitik.
Kajian Politik Untuk Perubahan
Menjejaki langkah Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang semakin hampir, suasana politik dalam negara ini juga semakin panas. Sejak awal tahun ini, bertambahnya insiden ganas dan provokasi khususnya ketika pihak oposisi atau badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan aktiviti di seluruh pelosok negara, memberikan gambaran bahawa tahun 2012 yang bakal membentuk Malaysia ala- zaman perubahan sedang berdepan dengan tentangan hebat pihak berkepentingan.
Sikap ketidakacuhan daripada pemimpin kerajaan dan pihak polis seolah-olah menggalakkan budaya samseng dalam arena politik negara dan dalam masyarakat tempatan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membisu di samping membenarkan kejadian seperti ini terus berlaku. Apakah ini satu petunjuk siapa dalang di belakang kejadian-kejadian ganas tersebut kerana sehingga kini, tiada sesiapa telah didakwa di mahkamah atas kejadian seumpama?
Jadual 1 menunjukkan bahawa pencerobohan atau perbuatan provokasi yang bersifat ganas berlaku setiap bulan sejak awal tahun; kini telah menjadi satu trend samseng sengaja menimbulkan suasana kecoh ketika Pakatan Rakyat (Pakatan) atau NGO mengadakan ceramah atau aktiviti. Tujuan pencerobohan atau provokasi bukan sahaja untuk mencetuskan huru-hara, tetapi juga menyebabkan penderitaan psikologi kepada para hadirin yang menjadi mangsa kepada keganasan samseng-samseng tersebut. Kini sikap kerajaan BN membenarkan kewujudan keganasan samseng menimbulkan persoalan, apakah semua ini untuk mempertahankan rejim pemerintah yang sedang berdepan dengan krisis kelangsungan hayat?
Jadual 1: Kronologi Insiden Keganasan (Jan 2012-Mei 2012)
Tarikh |
Acara/Tempat |
Insiden |
25 Mei | Lembah Pantai | Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah melaporkan beberapa biji telur dilempar di tangga pejabatnya. |
24 Mei | Ceramah Pakatan/ Lembah Pantai | Beberapa individu membaling batu, telur dan botol air ke arah para hadirin mengakibatkan seorang penonton ceramah cedera selepas terkena batu yang dilemparkan dari arah yang tidak diketahui dan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Nurul Balqis turut terkena lontaran batu sebesar kira-kira penumbuk tangan. |
24 Mei | Ceramah Pakatan/ Kuala Kangsar | Terdapat 11 kereta disimbah cat biru semasa majlis ceramah dilangsungkan, termasuk kereta Bekas Menteri Besar Perak yang digulingkan dari kuasanya, Nizar Jamaluddin. Cat itu kebanyakannya disimbah di bahagian lampu depan. |
24 Mei | Ceramah Pakatan/ Bangi | Sekira-kira 30 orang melakukan provokasi termasuk membaling batu dan melontar kata-kata kesat ketika Mat Sabu memberi ceramah di pentas.[1] |
20 Mei | Minum Petang bersama Amiga/Merlimau, Melaka | Dua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menjadi mangsa apabila acara minum petang bersama Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga. Salah satu daripada tayar kenderaan ADUN Bandar Hilir Tey Kok Kiew dipancitkan, cermin sisi pecah dan badannya kemik teruk dihentam kumpulan itu. |
11 Mei | Pulau Pinang | Kira-kira 30 anggota kumpulan pendesak Melayu PERKASA melangsungkan “upacara pengebumian” di depan rumah Ketua Menteri Lim Guan Eng di Pulau Pinang bagi menyatakan perasan tidak puas hati terhadap pentadbirannnya sejak 2008. |
6 Mei | Pahang | Ibu Pejabat Keadilan Pahang diceroboh. Pengerusi Majlis Pimpinannya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata bahawa pecereboh itu bukan berniat mencuri tapi fail, komputer habis dimusnahkan.[2] |
2 Mei | Hantar memorandum pada Perdana Menteri/Putrajaya | Tiga orang ahli Keadilan iaitu K. Gunasekaran, S. Murali dan Gobalakrishnan telah tercedera akibat serangan yang didakwa diketuai oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan semasa mereka melawat Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri berkenaan isu kad pengenalan bangsa India di Malaysia.[3] |
19 April | Demonstrasi Mansuhkan PTPTN/ Dataran Mederka | Sekumpulan antara 40 hingga 80 samseng berkelakuan biadap apabila menyerang perkhemahan mahasiswa di Dataran Merdeka, kira-kira jam 2.30 pagi. Mereka berpakaian serba hitam, samseng itu turut meroboh khemah, memukul mahasiwa dan orang ramai yang menyokong perkhemahan di samping mensasari terhadap mereka yang membawa kamera dan alat perakam video. |
3 April | Pertikaian rumah pangsa Kampung kerinchi/ Lembah Pantai | Protes aman melibatkan seramai 433 bekas penduduk rumah pangsa Kampung Kerinchi, bertukar kecoh apabila sebahagian penduduk enggan mengosongkan rumah mereka. Kekecohan ini juga menyaksikan pelajar kontroversi Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Adam Adli ditumbuk. |
26 Mac | Majlis Sambutan Sempena Empat Tahun Pemerintahan Pakatan Rakyat Selangor/ Stadium Kuala Selangor | Seramai kira-kira 20 samseng bermotor berkumpul di pagar stadium dan melakukan provokasi kepada hadirin, termasuk membaling objek seperti batu dan botol air ke dalam stadium.[4] |
26 Febuari | Ceramah Pakatan/Felda Lepar Hilir, Gambang, Pahang | Seorang samseng Umno mengacu penumbuk, beberapa inci sahaja dari wajah Nurul Izzah, sebelum sempat dihalang penyokong Pakatan.[5] |
26 Febuari | Perhimpunan Hijau, Pulau Pinang | Sekumpulan samseng Umno menaiki pentas acara Himpunan Hijau di Pulau Pinang dan menghambur kata-kata kesat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Pecerobon tersebut mengakibatkan seorang wartawan dan seorang jurugambar sebuah akhbar bahasa Cina cedera dipukul dengan topi keledar. |
19 Febuari | Ceramah Pakatan/ Sembrong, Johor | Lebih 100 orang, kebanyakannya remaja belasan tahun, telah melakukan gangguan di sebuah program ceramah DSAI. Mereka turut melempar mercun, telur, botol dan kayu di samping melontar kata-kata kesat ketika DSAI berucap. Di samping itu, sekumpulan samseng yang membawa bendera Umno dan BN itu turut memecahkan cermin kereta DSAI dan bertindak ganas menendang bahagian keretanya sehingga kemek. |
13 Febuari | Ceramah Pakatan / Alor Gajah | Sekira-kira 20 hingga 30 samseng bermotosikal serta puluhan lagi kereta bagi mengganggu ceramah tersebut. Malah, sejurus sebelum ceramah bermula, mereka telah menampar seorang lelaki ahli Keadilan yang cuba meletakkan bendera parti sebagai persiapan ceramah. |
12 Febuari | Kebebasan Akademik/ Klang | Satu ceramah mengenai kebebasan akademik terpaksa dibatalkan selepas sekumpulan remaja mengganggu majlis itu dan mengepung lokasi sebelum ceramah bermula. |
21 Jan | Ceramah ABU/ Shah Alam | Penyokong Umno dipercayai bertindak ganas apabila menyerang orang ramai pada satu aktiviti ceramah ABU (Asal Bukan Umno)-Hindraf, mereka menggunakan kerusi dan juga menggunakan kayu bendera sebagai senjata memukul orang India yang berada di dalam serta di luar dewan. Insiden ini mengakibatkan seorang ahli Kelab Penyokong PAS, Krishnan cedera parah apabila diserang oleh Umno dan dimasukan ke Hospital Pakar Sri Sentosa bagi menerima rawatan. |
Pada perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan perlakuan ganas sesetengah pegawai polis yang bertugas. Sesetengah wartawan tidak terlepas daripada menjadi mangsa keganasan sesetengah pegawai polis yang bukan sahaja, merampas dan menghancurkan kamera wartawan, tetapi juga membelasah mereka.
Pada tahun 2009, Perdana Menteri melancarkan konsep 1Malaysia di mana antara konsepnya adalah menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta menjadi asas kepada prinsip keadilan untuk semua kaum.[6] Menerusi konsep 1Malaysia, nilai murni didokongi oleh nilai hormat-menghormati antara semua kaum. Pada 16 April 2012[7], Perdana Menteri juga mengumumkan transformasi negara melalui inisiatif Transformasi Politk Negara (PTP) yang melibatkan pembatalan 3 Proklamasi Darurat, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri, Penggubalan Akta Perhimpunan Aman termasuklah pemindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan akhirnya pemindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti. Akan tetapi, transformasi yang didambakan oleh kerajaan BN di bawah naungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah berbaur retorik berikutan peristiwa-peristiwa semasa.
Transformasi Hak Asasi, Angan-angan Siang?
Transformasi yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri bersifatkan retorik apabila diingatkan semula kepada insiden keganasan polis terhadap bukan sahaja peserta perhimpunan aman Bersih 3.0, malah kepada para wartawan yang meliputi perhimpunan tersebut. Kerajaan BN dilihat menghalalkan perlakuan melampau sekelompok polis semasa menjalankan tugas.
Polis pula pasca perhimpunan Bersih 3.0 telah mengeluarkan gambar-gambar para peserta yang dipercayai bertindak ganas seperti memukul polis dan orang awam serta merosakkan harta benda ketika berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menafikan bahawa tindakan polis merampas kamera dan rakaman wartawan yang meliputi perhimpunan Bersih 3.0 sebagai sebahagian daripada garis panduan operasi polis (SOP). Ironinya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyatakan sebaliknya.[8]
Ini telah menanam perasaan tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat yang merasai Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara tidak berada dalam muka surat yang sama mengenai apa itu SOP polis menangani perhimpunan aman. Lantas, ketidakpercayaan terletak pada polis untuk menjalankan tugas mereka sebagai penjaga keamanan dalam negara. Pelepasan tembakan ke arah peserta perhimpunan Bersih 3.0 merupakan kesalahan polis kerana ini mengakibatkan tindak balas rantai yang memburukkan lagi keadaan sewaktu perhimpunan Bersih 3.0. Sementara itu, apakah Menteri Dalam Negeri dengan mengeluarkan kenyataan yang bertentangan, cuba menghalalkan budaya keganasan selagi rejim UMNO dapat dipertahan?
Walaupun dengan kemajuan sosio-ekonomi yang dinikmati oleh negara bertahun lamanya, semua itu hanyalah sebuah retorik apabila demokrasi rakyat dilanyak oleh kerajaan yang rakus dalam memegang kuasa yang dinikmatinya melebihi setengah abad lamanya. Pemodenan bukan sahaja dari segi pembangunan ekonomi dan industrialisasi, ia seiringinan dengan kebebasan rakyat menikmati hak-hak sebagai rakyat negara ini. Fahamkah pemimpin UMNO erti sebenar pembangunan dan pemodenan?
Penghalalan Kekejaman Polis di bawah Akta Perhimpunan Aman
Peruntukan seperti Seksyen 20 Akta Perhimpunan Aman memberikan kuasa budi bicara terlampau kepada polis untuk menangani perhimpunan aman, terutamanya perhimpunan Bersih 3.0, di mana, kelakuan melampau sesetengah pegawai polis dihalalkan oleh seksyen ini. Lantas, peruntukan seperti Seksyen 20 tidak mencerminkan masyarakat bertamadun mahupun masyarakat yang berwawasan 2020 ataupun bercirikan semangat 1Malaysia. Mengapa Perdana Menteri 1Malaysia terus membisu dalam hal ini?
Akibat keganasan polis yang tidak mengenali bangsa, agama, umur dan jantina, 113 orang menerima rawatan hospital di Hospital Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada 40 orang lelaki dan 25 orang wanita. Seorang daripadanya terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialami oleh polis.[9] Di antara yang tercedera termasuklah wartawan. Lantas, mencemari lagi nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja dalam negara, malah di luar negara juga.
Kesan kekejaman sesetengah pegawai polis ke atas rakyat Malaysia yang tidak berdosa hanya menambah minyak ke dalam api yang sedang membara. Rakyat kini tidak dapat meletakkan kepercayaan kepada institusi polis untuk mengekalkan keamanan dalam negara selagi rejim yang menghalalkan budaya keganasan terus berkuasa. Malah, insititusi polis kini dilihat sebagai hamba kerakusan kerajaan BN. Rakyat menghormati institusi polis yang profesional dan cintakan rakyat, bukan institusi yang dihambakan oleh rejim yang sedang kehilangan kuasa akibat kekejamannya menekan rakyat.
Transformasi atau slogan 1Malaysia yang begitu didahagakan oleh rakyat bukanlah hanya sebuah retorik. Akan tetapi, kehendak rakyat tidak perlu kekal sebagai retorik. Perubahan rejim dapat menangani masalah integriti dan kepercayaan rakyat kepada polis semula, antara cabarannya adalah untuk mereformasikan institusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
Sebuah kajian oleh Transparency International bagi tahun 2012 menerbitkan sebuah laporan di mana di antara semua institusi di Malaysia, institusi polis merupakan di antara institusi negara yang paling tidak bersih. (sila lihat Jadual 2)
Jadual 2: Pendapat Orang Awam mengenai Institusi Dalam Negara Terkotor[10]
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar, polis tidak akan mngambil tindakan terhadap para peniaga yang membuka gerai menjual burger di hadapan rumah Datuk Ambiga Sreenevasan kerana menurut beliau, tindakan peniaga-peniaga tersebut bukan suatu tindakan pencerobohan privasi Ambiga. Beliau bersambung bahawa pembukaan gerai tersebut dilakukan di kawasan orang awam lantas tidak mengganggu privasi Ambiga.[11]
Sikap pihak atasan polis bertindak prejudis terhadap Ambiga mencerminkan bahawa institusi polis berada dalam poket kerajaan BN yang sering menyalahkan Ambiga ke atas perhimpunan Bersih 3.0. Berlakunya perlakuan ”double standard” apabila polis sehingga kini gigih mencari dan menghukum peserta perhimpunan Bersih 3.0 tapi pada masa yang sama gagal menghukum pegawai polis yang berlaku ganas sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 dan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap demonstrasi ”punggung” oleh veteran tentera, gangguan-gangguan oleh pihak-pihak tertentu dan peniaga-peniaga kecil-kecilan yang melakukan pencerobohan privasi ke atas Ambiga dan keluarga beliau.
Pendeknya, di mana integriti institusi polis apabila mereka yang terlibat dengan budaya samseng dibiarkan tetapi yang cintakan negara dan mahukan pembaharuan yang lebik baik dihukum?