Hadi: PM tetap Melayu Islam jika Pakatan perintah


(Bernama) – Perdana Menteri tetap akan dilantik di kalangan bangsa Melayu yang beragama Islam sekiranya pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pemimpin yang bakal dilantik mestilah individu daripada kalangan yang mempunyai pengaruh paling besar dan hakikatnya bangsa Melayu Islam merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Kita berasas kepada resolusi Pakatan Rakyat, mengikut perlembagaan, Islam sebagai agama persekutuan, hak bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Raja berperlembagaan.

“Ini yang kita dahulukan, kita tak mahu lebih daripada itu, kita bergerak atas tapak itu, kita tak mahu gopoh,” katanya pada sidang media sempena ‘Himpunan Hijau Ke Putrajaya’ di Kota Sarang Semut dekat sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng juga pernah mengatakan tidak berhasrat untuk menjadi Perdana Menteri kerana menerima realiti jawatan tertinggi itu adalah khusus untuk bangsa Melayu beragama Islam.

“Dalam perlembagaan tak sebut sapa-sapa… itu semua orang tahu, tapi dari segi realitinya itulah… kita (pakatan pembangkang) sepakat Perdana Menteri mesti Melayu Islam,” kata Mustafa.

Turut hadir pada himpunan itu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Menteri Besar Kedah yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

 



Comments
Loading...