MB S’gor sokong penuh tindakan Faekah


Sedar dengan kewujudan gerakan tersebut, Abdul Khalid menganggap usaha itu tidak penting. 

(FMT) – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus mempertahankan setiausaha politiknya sambil menyifatkan Faekah Husin sebagai seorang yang menjalankan tugas dengan baik, komited dan penuh dedikasi.

Beliau yang mengakui sedar kewujudan satu gerakan untuk menjatuhkan setiausaha politiknya itu, menganggap usaha itu tidak penting.

“Saya pun ada gerakan nak jatuhkan Barisan Nasional. Politik yang dinamik banyak juga kenyataan yang berbentuk spekulasi. Saya tidak anggap usaha (gerakan tersebut) sebagai usaha penting. Jika kita lihat saudara Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) banyak kes yang dilaluinya.

“Tapi apa yang beliau buat? Beliau tidak ambil peduli sebab ia tidak memberi nilai tambah kepada objektif Pakatan Rakyat untuk menawarkan kerajaan alternatif,” katanya ketika diaju pemberita mengenai gerakan yang menggesa agar Faekah dipecat.

Abdul Khalid ditemui dalam sidang media selepas hadir dalam majlis menandatangani perjanjian pelaburan dan pemegang saham operator telefon bimbit prabayar di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai Faekah yang dilihat lebih vokal berbanding nbeliau dalam sebarang kenyataan membabitkan kerajaan negeri, Abdul Khalid menyokong tindakan setiausaha politiknya itu.

“Beliau (Faekah) melakukan kerja dengan baik dan lebih penting adalah penyebaran maklumat tersebut,” tegas beliau.

Sebelum ini, satu gerakan melalui laman sosial Twitter dengan hashtag menggunakan #kamisayangPKR #Pecat Faekah dilihat memainkan peranan untuk memberi tekanan kepada Faekah untuk berundur diri dari posisinya.

Gerakan tersebut juga didakwa mempunyai kaitan dengan pemimpin kanan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 



Comments
Loading...