Ummi Hafilda: 8 hartanah sah milik wanita itu
Beliau juga mendakwa wanita tersebut sudah lari meninggalkan Malaysia.
(FMT) – Ummi Hafilda Ali mendakwa bukti awal menunjukkan lapan dari 62 hartanah mewah dimiliki oleh wanita berkaitan pemilikan akaun luar biasa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan sekitar RM3 bilion.
Semasa disiasat selama kira-kira lima jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu kota semalam Ummi mendedahkan identiti seorang wanita misteri tersebut.
Wanita itu dipercayai memiliki atau mempunyai kaitan dengan 62 hartanah mewah berupa kondominium dan banglo, kebanyakannya di Pulau Pinang.
“Saya sedang membuat pengesahan terhadap yang lain. Saya juga akan memeriksa dengan pihak berkuasa untuk mengetahui siapa di belakang syarikat yang dimiliki wanita tersebut.
“Tetapi saya ingin menegaskan bukti kukuh mengenai pemilikan wanita itu sudah diperolehi, sudah ada dalam tangan saya,” katanya.
Ummi merupakan adik kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang juga ahli Parlimen Gombak.
Bagaimanapun, kata Ummi, SPRM menasihatkan beliau tidak mendedahkan butiran lanjut kerana boleh menganggu siasatan.
Bimbang saksi lari
Menurutnya, beliau juga bimbang saksi-saksi kes ini akan melarikan diri.
“(Tetapi) Saya akan mendedahkan lebih lanjut setelah siasatan SPRM selesai,” tambahnya.
Ummi juga mendakwa wanita ini telah melarikan diri ke luar negara tetapi menegaskan beliau mengetahui di mana wanita ini berada.