Dua ahli DAP dipecat kerana demonstrasi


Murugan A Kaliappan dan Thulasi Das Visuvalingam mengadakan demonstrasi kerana membantah cara pemimpin DAP Johor mengendalikan mesyuarat cawangan mereka. 

(FMT) – JOHOR BARU: Dua ahli DAP di Johor dipecat kerana didakwa mengadakan demonstrasi pada perhimpunan semasa konvensyen parti di Shah Alam serta di Johor.

Kedua-dua mereka ialah Murugan A Kaliappan dan Thulasi Das Visuvalingam dari Taman Nesa, Skudai.

Surat pemecatan serta merta itu ditanda tangani Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai yang juga ahli Parlimen Cheras selepas mengadakan mesyuarat minggu lalu.

DAP memberi peluang mereka membuat rayuan dalam tempoh dua minggu tetapi mereka tidak mahu berbuat demikian.

Ketika dihubungi, Murugan yang pernah menjadi ketua cawangan Taman Nesa berkata, beliau dan Thulasi mengadakan demonstrasi tersebut kerana membantah cara pemimpin DAP Johor ketika mengendalikan mesyuarat cawangan tersebut.

Bantah Ketua Pemuda

“Saya membantah kehadiran Ketua Pemuda DAP Johor, J Jason, tetapi Naib Pengerusi Norman Fernandez yang hadir sama telah membatalkan mesyuarat atas alasan laporan cawangan tidak lengkap.

“Saya telah menulis surat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta tokoh veteran Lim Kit Siang untuk menerangkan perkara sebenar tetapi tidak mendapat jawaban,” katanya.

Murugan bekerja sebagai pemandu jengkaut, manakala Thulasi pemandu lori di Johor.

Murugan berkata,  beliau merasa tidak senang kata-kata Dr Foo yang mendakwa DAP mengutamakan kaum majoriti dan bukannya minoriti.

Katanya, kenyataan ini seolah-olah masyarakat India tidak penting kepada parti.

 



Comments
Loading...