Rafizi dedah perakuan bersumpah Murad palsu, rekod dipenuhi salah guna kuasa dan rasuah


(The Malaysian Insider) – Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli hari ini mendedahkan, dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid yang mengatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai “master akaun” yang membabitkan 20 akaun induk yang mengawal aset, saham bernilai lebih RM3 bilion adalah tidak benar.

Rafizi juga tidak menolak kemungkinan, master akaun itu adalah milik Abdul Murad sendiri memandangkan latar belakang dan rekod beliau sendiri yang tercalar dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

“Perakuan bersumpah yang dibuat beliau itu tidak benar, terutamanya apabila beliau tidak langsung menyenaraikan harta atau saham yang kononnya dimiliki Anwar.

“Sebaliknya, daripada penyiasatan saya, mengenai latar belakang Datuk Murad Khalid mendapati, beliau bukan sahaja pernah menerima habuan ketika menjawat jawatan pegawai tinggi Bank Negara melalui pembayaran keahlian kelab golf dan yuran bulanan melalui pihak ketiga sebanyak RM30,000, bahkan turut menerima manfaat dan kepentingan daripada 15 unit kondominium di Pelangi Indah melalui syarikat Kenworth Snd Bhd.” kata Rafizi.

Rafizi (gambar) turut menambah, penyiasatan beliau itu turut mendapati insurans kediaman beliau turut dibayar oleh orang ketiga dengan nilai RM3.1 juta.

“Kedua-dua ini adalah melanggar etika dan peraturan Bank Negara,” tegas Rafizi.

Abdul Murad sebelum ini mendakwa, Ketua Pembangkang itu telah mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam pendedahannya melalui akuan bersumpah pada kira-kira 13 tahun lepas.

Rafizi juga menuntut Abdul Murad untuk segera menghentikan dakwaan-dakwaan tidak berasas beliau itu sebelum PKR mengambil tindakan drastik dengan membongkar segala salah laku yang pernah dilakukan beliau.

“Saya minta Abdul Murad membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada Ketua Umum PKR. Sudah cukuplah, sudah 13 tahun.

“Jika tidak, kami tidak teragak-agak untuk menolak pertimbangan aib beliau, dan mendedahkan segala salah laku beliau,” tegasnya, dan menambah,” kami turut memberi amaran kepada pemimpin Umno, jangan galak sangat atau kami akan dedah segalanya.”

Rafizi juga menjelaskan, beliau turut mempunyai surat tulisan tangan Abdul Murad kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang dakwanya mendedahkan penyelewengan pemimpin Umno.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Safuddin Nasution menegaskan, Abdul Murad juga bukanlah menjadi sasaran PKR, sebaliknya tindakan berdiam diri yang diambilnya sekarang tidak membantu dirinya sendiri.

“Beliau perlu tampil memberi penjelasan. Berdiam diri tidak akan membantu,” katanya.

 



Comments
Loading...