Elok Tok Guru, Anwar, Khalid selalu disiasat
Subky Abdul Latif, The Malaysian Insider
Rata-rata desakan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat atas duit yang dikaitkan dengannya sejumlah RM3 bilion sejak di zaman berada dalam Umno dulu.
Demikian juga Timbalan Menteri Dr Awang Adek mahu Menteri Besar Tok Guru Nik Aziz atau kerajaan Kelantan disiasat atas urusan pengeluaran dinar di negeri itu.
Apa jua motif siasatan itu patut diadakan, mungkin dipengauhi oleh unsur nagatif, tetapi betapa janganlah orang yang berfikiran terbuka tersentak dengannya. Terimalah ia secara positif.
Kita semua dikehendaki berjuang menentang penyelewengan dan salah guna kuasa. Tetapi pejuang itu sendiri boleh terperangkap dalam penyelewengan baik disengaja atau tidak sengaja.
Kerana itulah semua kerajaan, syarikat, bank, pertubuhan dll ada juru audit bagi memesti semua pentadbiran berjalan baik dan telus. Itulah sebabnya SPRM dan berbagai badan penyiasat ditubuhkan bukan untuk menghukum penyangak tetapi lebih kepada mencegah penyangak.
Anwar Ibrahim, Tok Guru Nik Aziz, Lim Guan Eng, Khalid Ibrahim dan Azizan Razak adalah orang-orang yang menentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Sejak sebelum berkuasa, mereka lantang menentang semua bentuk penyelewengan.
Anwar sendiri semasa dalam kerajaan dilantik menjadi pengerusi anti penelewengan kabinet. Mereka diberi kuasa dengan keyakinan mereka tidak menyeleweng kerana mereka adalah anti penyelewengan.
Tetapi manusia itu ada kelemahannya. Mereka juga terdedah kepada salah laku dan salah guna kuasa. Iman dan harga diri saja menghalang mereka terjerumus, sedang iman itu ada turun naiknya.
Di samping mereka dikawal malaikat, mereka juga perlu dikawal manusia. Segala desakan supaya mereka perlu disiasat, baik mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan atau cuai dan tersasul melakukan pecah amanah, adalah ibarat satu azimat supaya mereka berhati-hati tidak mendekati fitnah penyelewengan.
Islam mengajar umat supaya tidak mengembara sendirian. Hendaklah berkawan. Jika berkawan, kawan itu menegur bila kita membuat suatu yang tidak betul.
Selama para pemimpin itu memegang amanah, mereka perlu disiasat. Tidak cukup juru audit dalaman, diadakan juru audit luar. Kalau juru audit itu boleh dirasuah lalu tidak menjalan tugas secara telus, maka biar mereka selalu didatangi oleh SPRM.
Apabila semua mata memerhatikan mereka, maka mereka lebih berhati-hati menjalankan tugas secara jujur. Walau pun mereka sudah 100 peratus jujur, tetap mereka perlukan semak dan imbang. Orang diperhatikan setiap saat nescaya terselamat dari pekerti buruk.
Yang merosakkan pemimpin ialah mereka tidak pernah disiasat, tidak suka disiasat dan tidak boleh disiasat. Orang seperti itu senang terdedah kepada salah laku. Lebih merosakkan seorang Perdana Menteri dan Menteri Besar apabila penyokongnya marah apabila ada orang hendak menyiasat mereka.
Boleh jadi aduan polis dan gesaan supaya mereka disiasat bertujuan khianat dan mahu menghancurkannya, tetapi siasatan yang adil tidak menzalimi orang yang disiasat. Lainlah kalau penyiasat dan hakim itu sendiri terdiri dari orang yang zalim juga.
Berpeganglah kepada falsafah peri bahasa Melayu, sayangkan anak tangan-tangankan. Jangan sayangkan anak biar-biarkan, bagi semua yang dimahu dan benar semua apa yang hendak dibuat.
Nabi berkata, jika anakku Fatimah mencuri, nescaya aku potong tangannya. Atas dasar itu kita mesti adil kepada semua. Siasat semua yang berjawatan. Dakwa mana-mana yang ada bukti penyelewengan. Hukum jika mereka tidak dapat dibebaskan.
Tetapi semua aduan dan desakan disiasat buatlah demi keadilan, bukan kerana khianat dan hendak menzalimi. Penggallah leher Anwar setelah kita puas hati dia seorang pengkhianat dan penjenayah yang berbahaya. Tetapi jangan desas-desus dia untuk kezaliman. Pastikan yang mendesak itu bukan orang zalim dan tidak disuruh oleh zalim. Orang zalim itu sedarjat dengan orang fasik dan orang kafir.