Gantung Ambiga atau gantung diri?


Tetapi silap MP Seri Gading ialah minta gantung Ambiga saja. Mengapa tidak minta gantung Sastrawan Negara Datuk A. Samad Said? Jika tuntutannya adil dan tidak perkauman, dia mesti minta gantung Pak Samad sama. Biar semua yang menunjuk perasaan dalam siri Besih itu digantung belaka. Adakan kubur khas untuk semua.

Subky Abdul Latif, FMT

Datuk Mohamad Aziz, MP Seri Gading, atau sesiapa saja boleh tidak setuju dan boleh marah peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, pemimpin Bersih, atas kegiatannya sebagai anggota masyarakat madani menganjurkan tunjuk perasaan menuntut pilihanraya bersih dan adil.

Perlembagaan dan demokrasi membenarkan mana-mana anggota parlimen menyuarakan pandangan bebasnya, tetapi perlembagaan tidak menganjurkan seseorang menganjurkan menggantung orang itu dan orang ini atas apa alasan jua.

Bahkan Perdana Menteri dan Yang diPertuan Agong pun tidak boleh memerintah gantung sesiapa sekali pun ada alasan melayakkan seseorang digantung. Hanya mahkamah setelah mendengar hujah dakwaan dan pembelaan berkuasa menggantung sampai mati. Itu pun orang yang disabitkan boleh membuat rayuan lagi.

Sesudah tiada cara untuk membebaskannya barulah dijatuhkan hukum gantung.

Zaman sekarang bukan lagi zaman Al-Marhum Mangkat Dijulang, raja boleh bunuh sesiapa yang dikehendakinya. Kalau raja dilarang berbuat demikian, apa lagilah seorang wakil rakyat.

Tahan seseorang tanpa bicara seperti yang dibenarkan oleh ISA pun riuh dari bumi hingga ke langit, maka apalah hak seorang MP menuntut supaya Ambiga digantung?

Adalah benar Mohamad Aziz itu orang politik, tetapi politik yang bebas itu pun tidak sebebas itu hingga boleh menganjurkan orang yang tidak disukainya digantung hingga mati seperti yang dikenakan kepada penderhaka al Maunah.

Wakil rakyat mesti sentiasa siuman. Dia tidak boleh mabuk dan tidak boleh gila hingga menyuruh gantung orang itu dan ini. Apabila seorang MP menganjurkan hal itu, maka dia mestilah tidak terlepas dari menerima tanggungjawab dan risiko atas cakapnya.

Hanya orang gila saja yang terlepas dari sebarang tindakan. Bukan saja orang gila tidak boleh dikenakan apa-apa kalau suruh gantung seseorang. Dia bunuh seseorang pun tidak boleh dikenakan apa-apa.

Telah banyak didengar sejak Ambiga mengepalai Bersih supaya digantung kerakyatannya. Mana boleh kerakyatan seseorang boleh dilucutkan. Adalah satu kesalahan yang besar menuntut supaya dilucutkan status kerakyatan seorang rakyat apa lagi rakyat itu dilahirkan di Negara ini sendiri.

Tiada peruntukan membolehkan kerakyatan Ambiga dilucutkan. Orang gila saja yang bebas membuat tuntutan itu dan demikian juga gila juga yang boleh minta dia digantung.

Suara Mohamad Aziz itu telah mendatangkan kerosakan kepada Umno dan kerajaannya, kerana ia membuat tuntutan gila. Tuntutan itu boleh melarikan banyak undi untuk BN. Kalau Ambiga boleh digantung atau dilucutkan kerakyatannya, maka akan lagi orang akan dikenakan gantung atau lucut kerakyatan atas sebab ada orang tidak suka kepada mereka.

Bukan Ambiga saja menganjurkan Bersih. Ramai penganjurnya dan ramai pula yang menyokong dan menyertainya. Menggantung Ambiga seperti menggantung mereka juga dan melucutkan kerakyatannya adalah macam melucutkan kerakayatan sekalian yang turun ke jalan raya tempoh hari.

Tetapi silap MP Seri Gading ialah minta gantung Ambiga saja. Mengapa tidak minta gantung Sastrawan Negara Datuk A. Samad Said? Jika tuntutannya adil dan tidak perkauman, dia mesti minta gantung Pak Samad sama. Biar semua yang menunjuk perasaan dalam siri Besih itu digantung belaka. Adakan kubur khas untuk semua.

Apa pun Mohamad Aziz itu sudah menarik balik tuntutannya dengan bersyarat. Sama sudah tarik balik atau tidak tarik balik, satu “damage” sudah dilakukannya. Adakah dia akan dicalonkan lagi?

Jika dia dicalonkan lagi, ia boleh jadi kerja gantung diri. Memang Mohamad Aziz sudah melakukan suatu yang menjadikan dia menggantung dirinya. Yang hendak digantung iaitu Ambiga tidak digantung, tetapi yang hendak menggantungnya seperti menggantung dirinya sendiri.

 



Comments
Loading...