Melayu temperamental


Rizal Abdul Rahman, The Malaysian Insider

Dua belas tahun sebelum saya dilahirkan, Tan Sri Sanusi Junid, seorang tokoh Melayu yang selama lebih 20 tahun menjawat pelbagai jawatan dalam kepimpinan negara pernah menyebut dalam salah satu ucapannya ketika merasmikan simposium Melayu di Universiti Malaya, bahwa bangsa Melayu mempunyai pelbagai masalah yang diwarisi mereka kerana budaya “temperamental”.

Di dalam ucapan perasmian tersebut, beliau menyebut bagaimana budaya temperamental iaitu budaya yang suka kepada hal bermusim menjadi kemungkinan alasan bangsa Melayu ini gemar menjadi nelayan di pantai Timur kerana adanya musim tengkujuh tetapi tidak di pantai Barat yang cuaca hampir sama sepanjang tahun; gemar menanam padi yang hanya menuntut mereka bekerja menuai dua kali setahun tetapi tidak menanam sayur yang harus dijaga pada setiap waktu; dan Melayu juga meminati politik disebabkan ia datang 5 tahun sekali tetapi tidak di bidang ekonomi yang harus diawasi sepanjang masa.

Suka perkara yang bermusim ini juga menjadi antara sebab pelbagai masalah tidak dapat diselesaikan secara tuntas oleh orang Melayu. Belum satu masalah selesai, masalah lain datang dan masalah lama dilupakan sahaja. Masalah akhirnya bertimbun, diwarisi dari generasi ke generasi.

Hari ini ketika hampir 30 tahun selepas Sanusi mengulas masalah tersebut, budaya temperamental ini masih saja diwarisi dan masalah yang timbul tidak banyak yang dapat diselesaikan. Sebagai contoh, orang Melayu hari ini masih saja mudah dimainkan dengan masalah yang datang bermusim seperti fitnah rambang sehingga mereka lebih memilih untuk mempercayai tuduhan daripada proses mencari tahu kebenaran dan kemudian melupakan saja cerita tersebut kerana mula dibelengu dengan masalah lain yang sengaja ditimbulkan.

Orang Melayu juga memilih untuk bersatu hanya pada musim-musim tertentu sahaja. Sejarah Malaysia membuktikan penyatuan orang Melayu awalnya terjadi bila hak mereka tergugat semasa Malayan Union diperkenalkan, maruah mereka dihina apabila seorang Cina kencing di depan rumah Menteri Besar Melayu pada Mei 1969, dan apabila mereka berasa terancam semasa orang lain mengusik tentang keistimewaan mereka yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia.

Di luar musim atau masalah yang dihadapi, mereka lebih memilih untuk duduk secara berpuak-puak. Tidak hairanlah walaupun satu bangsa, Melayu selalu saja iri hati antara satu sama lain, selalu menuduh satu orang lebih Melayu dari yang lain bahkan gamak menunjuk siapa masuk syurga dan siapa tidak berdasarkan puak mereka.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...