Talam: Anwar pertahan MB S’gor


Isu ini berpunca daripada Khir Toyo yang bertindak menjual beribu ekar tanah Selangor kepada Talam namun gagal membayar premium tanah.

Jamilah Kamarudin, FMT

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membeli Talam Corporation Bhd (Talam) walaupun syarikat itu dihimpit dengan bebanan hutang berjuta ringgit.

Menyifatkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor paling berkaliber kerana bijak menguruskan ekonomi negeri, Anwar berkata Khalid tidak
patut dipersalahkan apabila Selangor terpaksa menanggung RM392 juta hutang Talam.

Katanya, isu ini sebenarnya berpunca daripada bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo yang bertindak menjual beribu ekar tanah Selangor
kepada Talam namun gagal membayar premium tanah walaupun mendapat geran yang sah sehingga menyebabkan hampir dilelong bank.

“Tan Sri Khalid urus ekonomi dalam empat tahun ni tiada tolok tandingnya dengan mana-mana Menteri Besar sebelumnya.

“Khalid terpaksa hutang RM400 juta untuk ambil balik nak selamatkan (tanah daripada dilelong) kamu kata dia jahat.

“Tapi (individu) yang jual tanah itu kamu lupa…ini zaman edan,” katanya dihadapan kira-kira 3,000 penyokong dalam Ceramah Merdeka Rakyat di Jalan Kebun di sini malam tadi.

Pentadbiran Khalid kini dihimpit dengan tekanan isu menguruskan penstrukturan hutang Talam membabitkan jumlah nilai sehingga RM1 bilion.

Ketua Umum PKR itu turut menegaskan pentingnya peranan anak muda menangani politik kotor, zalim dan menolak sistem pentadbiran yang mengamalkan rasuah.

Katanya, anak muda tidak seharusnya mudah terpedaya dengan habuan wang ringgit yang ditaburkan untuk menjalankan kerja politik kotor pihak lawan.

“Jangan kerana RM20 maki orang, baling batu. Saya pergi Johor kereta kena, saya pergi Lembah Pantai kena baling batu…anak muda (dengan hanya) RM20 khianat semangat perjuangan.

Pencacai rasuah

“Ini laskar upahan Umno yang cukup rendah akhlaknya. Apa yang hebat kalau anak muda tidak berani menyatakan yang benar kalau jadi perkakas dan pencacai rasuah,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...