`PAS tidak terbabit dengan keganasan’


Tuan Ibrahim menganggap laporan itu berat sebelah.

Muda Mohd Noor, FMT

PAS menolak laporan polis bahawa pembangkang diresapi unsur komunis dan Jemaah Islamiah (JI), kata Ketua Penerangan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Laporan tersebut berat sebelah. Yang komunis dari Cina datang dan disambut serta dirai oleh Umno langsung tidak ada sebarang kenyataan.

“PAS tidak terbabit dengan keganasan. Kita melarang ahli kita terlibat dengan keganasan,” kata beliau.

Ketua Penerangan PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan polis bahawa parti pembangkang diresapi komunis dan JI.

Risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi PAS selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

Sokongan NGO

“Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

“Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada NGO asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

 
 


Comments
Loading...