Felda tiada hak atas tanah k’jaan negeri


FGVH berkemungkinan akan disaman oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia kerana memasukkan tanah Felda Plantations dalam senarai saham Felda Induk.

(FMT) – Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Azizan Abdul Razak mendakwa beliau tidak diberitahu mengenai cadangan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) memasukkan tanah milik kerajaan negeri dalam prospektus syarikat itu ketika disenaraikan pada 28 Jun lalu.

Berdasarkan prospektus tersebut, beliau difahamkan bahawa FGVH telah membuat satu perjanjian dengan Felda Induk untuk menggunakan semua tanah Felda Plantations untuk dimasukkan dalam saham Felda Induk, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan dengan isu penjualan semula saham FGVH selepas mesyuarat Exco di Alor Setar hari ini, dipetik dari blog kedahlanie.

Oleh kerana itu, FGVH berkemungkinan akan disaman oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia jika syarikat tersebut meneruskan perjanjiannya dengan Felda Induk untuk memasukkan tanah Felda Plantations dalam senarai saham Felda Induk.

“Ini kerana tanah Felda Plantations merupakan tanah milik kerajaan negeri dan mereka tidak boleh membuat perjanjian dengan pihak lain sesuka hati,” tegasnya.

Ujar beliau, “kita hanya bagi kepada mereka hak mengguna tanah tetapi tidak membenarkannya membuat perjanjian dengan pihak lain.

“Jadi kita nak minta penjelasan daripada FGVH, bagaimana mereka boleh keluarkan prospektus bahawa mereka telah menggunakan tanah ini untuk tujuan saham tersebut.

“Jika mereka teruskan dengan prospektus itu, maka SC dan Bursa Malaysia akan ambil tindakan terhadap mereka bukan terhadap saya, kerana mereka mengelirukan dan menipu orang ramai sedangkan itu bukan haknya.

“Orang yang terpengaruh orang akan beli walaupun dua ekar. Dengan prospektus tersebut ianya memberi pengaruh kepada orang ramai sama ada untuk turut serta atau tidak,” terang beliau bersungguh-sungguh.

Menurut beliau, tanah yang terlibat di Kedah ini terdapat di dua kawasan dan mungkin di Gunung Bongsu.

“Pertama di kawasan penanaman getah iaitu sebanyak 241.67 hektar. Tanah ini tidak diberikan geran, bermakna ianya masih tanah kerajaan negeri maka tidak boleh buat perjanjian dengan pihak lain.

“Kawasan yang kedua adalah tanah getah juga seluas 874.58 hektar dan dalam prospektus tersebut FGVH juga memasukkan tanah ini sebagai saham sedangkan tanah itu milik kerajaan negeri,” tambahnya.



Comments
Loading...