Hudud: Biar rakyat tentukan, bukan Karpal


PAS Kelantan menegaskan rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

(FMT) – KOTA BHARU: “Biar rakyat yang menentukan pelaksanaan hukum hudud, bukan Karpal Singh,” tegas Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata, PAS Kelantan berpendirian rakyat berkuasa menentukan dasar kerajaan termasuk pelaksanaan undang-undang Islam.

“Dalam soal ini, rakyat memainkan peranan utama, contohnya PAS tidak bersetuju perjuangan menegakkan negara sekular tetapi kita hendak halang macam mana sebab rakyat yang menentukan perkara itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mengatakan DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini biarpun mengakui Islam agama rasmi negara mengikut perlembagaan.

Dalam kenyataannya Karpal berkata, kenyataan itu adalah pendirian DAP bukan pandangan peribadinya.

Mohd Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah itu menegaskan PAS tetap berjuang secara berterusan menegakkan syariat Islam biarpun terdapat pihak yang tidak bersetuju dengan dasar perjuangan parti itu.

“Bagi memperjuangkan agenda Islam seperti yang PAS bawa ini pun rakyat yang boleh menentukan kejayaannya tetapi kita tidak akan berhenti memperjuangkan Islam, semata-mata sebab ada orang yang tidak bersetuju.

Di sini usaha kita ialah berterusan memberi penjelasan kepada rakyat dan biar rakyat membuat keputusan,” katanya, dipetik dari blog Kedah Lanie.

Umno sendiri tidak suka hudud

Mohd Amar yang dilantik sebagai timbalan pengerusi jawatankuasa teknikal hudud Kelantan menyifatkan penentangan daripada Karpal itu bukan suatu perkara yang luar biasa memandangkan Umno sendiri tidak menyukai pelaksanaan hukum itu di negara ini.

Malah beliau berkata, MCA turut menolak undang-undang Islam itu dengan menyuarakan hasrat akan keluar daripada Barisan Nasional (BN), sekiranya Umno menyokong hudud.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...