Kes Rafizi dan Perbatuan Politik


Kalau kakitangan bank dibiarkan membocorkan rahsia pelanggan sesuka hati, maka hilanglah kewibawaan perbankan di Malaysia dan tidak ada pelanggan akan berasa selamat. Perbuatan seperti itu wajib dibanteras dan pelakunya wajib dihukum.

A KADIR JASIN

MASA beredar tetapi keadaan tidak semestinya berubah. Kalau berubah pun hanyalah cara.

Ketika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuatkuasa, penahanan di bawah akta itu dianggap sebagai “seal of approval” atau tanda pengiktirafan bahawa seseorang itu pejuang tulen.

Malah, dalam DAP pada satu ketika pemimpinnya yang tidak ditahan di bawah ISA dianggap sebagai orang penakut dan tidak layak dianggap pejuang.

Sekarang, dengan ihsan Perdana Menteri dan transformasi, ISA susah dibakulsampahkan. Maka hilanglah tanda niaga yang berharga bagi pembangkang dan penentang kerajaan.

Kini terpaksalah mereka menaikkan taraf undang-undang biasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang komersial ke taraf ISA supaya mereka terus dianggap sebagai wira dan mangsa apabila ditangkap dan diheret ke mahkamah.

Jadi, tidaklah menghairankan kalau penangkapan dan penuduhan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, pada 1 Ogos di bawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) berkaitan pendedahan kes National Feedlot Corporation (NFCorp) akan menjadi satu lagi “fodder” atau bahan perbahasan.

Rafizi dituduh bersama dengan bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad, membocorkan rahsia bank. Mereka mengaku tidak bersalah.

Sekalipun tindakan mengheret Rafizi ke mahkamah adalah keputusan Bank Negara yang bertanggungjawab ke atas BAFIA, namun ia akan dijadikan senjata bagi menuduh kerajaan melakukan penindasan politik.

Namun begitu, daripada perspektif yang lebih luas, kita harus mengambil kira bahawa ada dua pihak lain yang telah dihadapkan ke mahkamah pendedahan kes NFCorp.

Pada 12 Mac lalu, pengerusi NFCorp., Mohamad Salleh Ismail, suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil, telah dituduh melakukan pecah amanah melibatkan hampir RM50 juta.

Dalam satu kes lain, perunding Shamsubahrin Ismail dituduh menipu Mohamad Salleh sebanyak RM1.76 juta dalam bentuk yuran perundingan.

Penuduhan di bawah BAFIA ke atas Rafizi mempunyai implikasi yang luas. Bank Negara berhak dan wajar bertindak tegas ke atas kakitangan bank yang membocorkan rahsia pelanggan.

Kalau kakitangan bank dibiarkan membocorkan rahsia pelanggan sesuka hati, maka hilanglah kewibawaan perbankan di Malaysia dan tidak ada pelanggan akan berasa selamat. Perbuatan seperti itu wajib dibanteras dan pelakunya wajib dihukum.

Saya yakin Rafizi, sebagai seorang politikus yang pintar, tahu mengenai wujudnya BAFIA dan kesalahan membocorkan rahsia pelanggan bank.

Jadi, sama ada beliau melakukannya kerana mahukan pertabatuan politik – political milage – atau kerana mengambil berat kebajikan umum – altruism – undang-undang tetap undang-undang.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...