Rafizi dakwa George Kent bohong


Konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

(FMT) – Konsortiun George Kent-Lion Pacific didakwa mengeluarkan kenyataan palsu berhubung kelulusan penilaian teknikal dan kewangan dalam bidaan projek tambahan sistem LRT-Ampang.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli sebaliknya berkata, konsortium tersebut sebenarnya gagal dan hanya mendapat 8.7 daripada 30 markah keseluruhan bagi penilaian kewangan.

Perkara itu didedahkan Rafizi melalui satu salinan surat yang dikemukakan Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana Datuk Shahril Mokhtar kepada Kementerian Kewangan.

Dalam surat bertarikh 20 Januari itu, Shahril melaporkan ringkasan penilaian keseluruhan bidaan (penilaian teknikal, penilaian kewangan dan pematuhan kepada syarat-syarat kontrak) bersama-sama cadangan lantikan untuk diluluskan Kementerian Kewangan.

Menurut laporan tersebut, berdasarkan lapan calon pembida, Konsortium George Kent juga didapati tidak memenuhi syarat kontrak, namun membuat permohonan agar beberapa syarat seperti “bayaran ganti rugi kerosakan akibat gangguan” (Agreed Disruption Damages) disemak kembali.

Manakala dari segi teknikal, laporan tersebut menyatakan George Kent berada di tempat ketiga tercorot dalam penilaian teknikal dengan 38.62 daripada 70 markah keseluruhan.

Malah laporan Perunding Halcrow dengan secara jelas menyatakan bahawa ia tidak yakin Konsortium George Kent boleh melaksanakan projek itu.

Bidaan itu dibuat melalui Konsortium George Kent-Lion Pacific yang turut melibatkan syarikat-syarikat Wijet dan Thales dari luar negara.

“Kesemua fakta ini adalah fakta yang sah dan diangkat ke peringkat tertinggi Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan yang dipengerusikan Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, pembohongan yang dibuat Pengarah Eksekutif George Kent, Ir Dr Cheong Thiam Fook ini dibuat dengan tujuan untuk mengaburi mata rakyat Malaysia.

Malah, katanya ia menghina semua  prosedur yang digunapakai di dalam sistem perolehan negara seolah-olah ia tidak berfungsi dan berkesan sehingga ia langsung tidak dihormati oleh pembida.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...