Pencerahan politik baru: sistem politik syura gantikan demokrasi acuan barat


Baharudin Ali Masrom Al-Haj @ BAM AL-HAJ

Setiap kali membaca akhbar tentang politik, fikiran saya sering terganggu. Letih dan membosankan. Politik kita makin tajam. Pandangan saya tentang politik Melayu dalam buku saya pada tahun 1989 (Politik Melayu Abad 21) ternyata benar – Melayu terus berbalah. Dan politik kita terlalu bergantung kepada parti, berbaur perkauman dan sentimen agama.

Saya terfikir semua ini berlaku mungkin disebabkan sistem demokrasi yang kita tiru bulat-bulat daripada Barat. Seeloknya dikaji semula.

Sistem politik berparti dan parti yang menang berkuasa penuh membentuk kerajaan sudah  tidak relevan lagi. Ia membawa perbalahan dan pertikaian yang tidak berkesudahan. Lebih parah lagi fitnah, caci-maki dan penghinaan semakin berleluasa, terutama di media alternatif.

Dalam sistem politik sekarang, yang kuat akan memijak yang lemah. Yang menang akan berkuasa penuh, manakala yang kalah sekadar jadi tukang bangkang. Yang menang seolah-olah betul semua, lantas boleh buat apa sahaja, sedangkan yang kalah dipinggirkan. Yang berkuasa bolot semua, yang kalah hanya menganga.

Sesungguhnya amalan politik kini bukan memperkasa, tetapi melemahkan sesama sendiri. Cantas mencantas dan bunuh membunuh. Hendak naik dalam hierarki kepimpinan parti kena pijak kepala orang lain, apatah lagi berlainan parti.

Alternatif mesti difikirkan. Kadang-kadang saya pelik. Di negara kita hari ini sudah ada beribu-ribu pemegang ijazah PhD dan Profesor, tetapi politik kita tidak berubah. Masing-masing sibuk dengan bidang sendiri-sendiri, hidup sendiri-sendiri sehingga tidak banyak idea konkrit untuk memajukan bangsa dan negara dilontarkan.  Yang banyaknya Cuma pengampu dan tukang angguk.

Para cendekiawan kita perlu mencari alternatif bagi membaiki sistem yang ada pada masa akan datang. Cendekiawan sepatutnya bukan menjadi cendawan, tetapi Ulul Albab – pemikir dan pejuang, memberikan sumbangan kepada kebangkitan politik baru.

Semua pihak patut memainkan peranan. Ataukah kita sudah kekeringan idea?

Terapkan politik baru yang berkonsepkan Politik Syura. Ubahsuai sistem dan cara kita menganjurkan pilihanraya supaya lebih telus dan adil.

Saya mencadangkan supaya:

1. Sistem pemilihan pemimpin di peringkat Parlimen diteruskan, tetapi calon tidak perlu bertanding atas tiket parti. Semua calon bertanding secara individu. Semua rakyat layak dan bebas mengundi.

2. Apabila menang, satu lagi pilihanraya (pusingan kedua) diadakan untuk memilih anggota kabinet bagi membentuk kerajaan.

3. Rakyat sekali lagi mengundi dan 25 calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih menganggotai kabinet bagi membentuk kerajaan, tanpa mengira parti.

4. Calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi PM dan TPM, manakala yang lain jadi menteri kabinet. Atau 25 orang ini bermesyuarat untuk melantik seorang PM dan TPM di kalangan mereka. Yang lain jadi menteri mengikut kepakaran dan kesepakatan majlis syura pimpinan ini.

5. Visi dan misi anggota kabinet bukan lagi parti, tetapi adalah untuk rakyat dan negara. Parlimen berhak mengusulkan undi tidak percaya sekiranya didapati seseorang menteri itu menyeleweng atau tidak mampu melaksanakan tugasnya dengan baik.

6. Elok juga parti-parti politik diharamkan terus. Dengan itu rakyat tidaklah terlalu sibuk dan disibukkan dengan perbalahan dan percakaran parti-parti politik. Ini semua hanya menjadikan seseorang itu taksub kepada parti dan tidak bersetuju dengan orang lain, serta bersikap tertutup. Hanya NGO dibenarkan.

7. Wujudkan Majlis Syura Pimpinan Negara (MSPN) dengan 41 anggota. Parlimen membentuk satu panel penasihat seramai 16 orang untuk menganggotai Majlis Syura Pimpinan Negara bersama semua 25 menteri kabinet. Pengerusinya hendaklah dipilih oleh Dewan Rakyat, terdiri daripada orang yang dihormati oleh orang ramai.

8. Tugas MSPN adalah untuk mengawal, mengawasi dan memantau perjalanan kerajaan. Badan ini akan membawa usul tertentu kepada Dewan Rakyat sekiranya kerajaan tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya.

9. Badan Kehakiman adalah badan bebas. SPR, SPRM dan Polis bertanggungjawab terus kepada Parlimen, bukan Perdana Menteri.

10. Pilihanraya ditetapkan tarikhnya pada akhir setiap pemerintahan 5 tahun atau, jika hendak diadakan sebelum tempoh tamat, ia boleh ditentukan oleh Dewan Rakyat yang bersidang. Tarikh pilihanraya hendaklah ditetapkan sekurang-kurangnya 3 bulan lebih awal bagi memudah persiapan calon.

11. Sebarang perubahan dasar dan undang-undang hendaklah diluluskan oleh Dewan Rakyat. Kita mesti pastikan halatuju negara tidak diubah-ubah sesuka hati mengikut selera pemimpin sahaja.

12. Diwujudkan Akademi Kepimpinan Negara (AKN) untuk melatih bakat-bakat kepimpinan dalam bidang politik, hubungan antarabangsa, ekonomi, agama, pendidikan dan sosial supaya lahir generasi kepimpinan baru yang kompeten, termasuk daripada segi akhlak dan integritinya. MBA Leadership and Management. Bakat-bakat ini akan diberi tempat dalam bidang kepakaran mereka dan digilap supaya menjadi matang dan akhirnya menjadi pelapis kepada kepimpinan sedia ada.

Untuk melaksanakan Sistem Politik Syura, tentulah Perlembagaan Negara perlu diubah kerana ia melibatkan cara pilihanraya dikendalikan. Terserah kepada pihak yang menang PRU13 untuk menimbangkannya.

Ini sekadar cadangan awal bagi mewujudkan Politik Baru dan Masyarakat Civil (Madani) yang berteraskan Politik Syura.

Apa pandangan anda?

 



Comments
Loading...