Kehadiran Anwar: Sultan S’gor tidak gembira


 
Tuanku Sultan malahan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput ke majlis itu sehingga diberi slot untuk memberikan ucapan pada malam tersebut. 
 
Fazy Sahir, FMT
 
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak gembira dengan kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan ambang Hari Merdeka yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Tuanku Sultan malahan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput ke majlis itu sehingga diberi slot untuk memberikan ucapan pada malam tersebut.

“Atas dasar dan kapasiti apa dia dijemput? Beliau memenangi (kerusi) di Penang. Beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Selangor. Sultan tidak gembira mengenainya.

“Sultan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput dan diberi slot untuk memberi ucapan,” kata Mohamad Munir.

Beliau turut menjawab dakwaan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Tuanku Sultan tidak perlu menyatakan hasrat menghadiri sambutan Hari Merdeka kerana kedudukan Baginda berada di atas pentadbiran negeri.

“Baginda (Sultan) berada di atas pentadbiran negeri. Baginda tidak akan berkata bahawa Baginda mahu pergi jika tidak dijemput,” jelas beliau.

Faekah dalam satu kenyataannya semalam berkata adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Munir untuk memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sekiranya Tuanku Sultan berkenan untuk mencemar duli dan menghadiri acara berkenaan.

Faekah turut mendakwa kekeliruan timbul apabila Mohamad Munir tidak memberikan maklumat sewajarnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pihak Istana biasanya akan dimaklumkan mengenai program-program kerajaan negeri dan saya akan bertanya kepada Tuanku Sultan sama ada Baginda akan menghadiri majlis tersebut.

“Tuanku (Sultan) akan memberitahu Baginda lapang untuk hadir dan saya akan maklumkan kepada pegawai kerajaan negeri untuk mengesahkan kehadiran. Namun tahun ini kita tidak dimaklumkan tentang perkara berkenaan. Bagaimana kita akan tahu jika Tuanku Sultan berkehendak untuk hadir?,” soal beliau.

Mengapa Anwar dijemput?

Sementara itu, FMT turut mendapatkan komen mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang turut mempersoalkan kehadiran Anwar sebagai jemputan utama dalam majlis tersebut.

“Siapa yang jemput Anwar? Kenapa jemput Anwar? Itu yang masalah timbul. Pejabat Menteri Besar arahkan agar kerajaan negeri menjemput Anwar. Tidak pernah dalam satu program ada dua jemputan utama. Jadi kewajipan Kerajaan Negeri dibawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput Tuanku Sultan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau turut mendakwa urusan jemputan utama adalah dibawah tanggungjawab Menteri Besar. Maka adalah tidak bertanggungjawab untuk Abdul Khalid menyalahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam urusan jemputan berkenaan.

“Jemputan utama biasanya ditentukan oleh Menteri Besar. Jemputan lain akan diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri. Abdul Khalid sepatutnya tidak boleh memberi alasan dan menyalahkan Mohamad Khusrin, sedangkan sepatutnya beliau memberi sebab mengapa Anwar dijemput?,” soal beliau.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...