Kembalikan Sabah kepada rakyat Sabah


Kuala Lumpur telah mengatakan bahawa rakyat Sabah tidak boleh mentadbir negeri dengan berkesan, kata Joseph Lakai. 

Joseph Bingkasan, FMT

KOTA KINABALU: Autonomi yang diperjuangkan oleh Parti Maju Sabah (SAPP), parti pembangkang pimpinan bekas ketua menteri Yong Teck Lee, adalah autonomi untuk rakyat negeri Sabah.

Harapan rakyat yang menuntut autonomi atau ‘Sabah sebagai Negeri Merdeka’ mesti sentiasa diucap dan dihati semua pemimpin- pemimpin sebenar di Negeri Dibawah Bayu ini.

Jika dilihat di kedua-dua belah negeri, jurang politik Sabah dan Malaya (Semenanjung Malaysia) sangat-sangat berbeza, selain pemimpin-pemimpin Sabah telah lama dilihat tidak berupaya dan ketakutan dengan mengganggap orang Malaya sebagai tuan mereka.

Menurut Naib Ketua SAPP Liawan, Joseph Lakai, pemimpin negeri tidak akan berani bersuara untuk menentang ketidakadilan yang berlaku setiap hari kepada rakyat Sabah.

“Walaupun jika dilihat mereka bercakap ianya sebagai jeritan pasif – iaitu asal bercakap dan berkata sesuatu tetapi tidak memberi kesan atau menggugat,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada FMT hari ini.

Ia diumpamakan seperti anjing yang sepatutnya menyalak dan mengawal sebuah rumah daripada pencuri.

Dalam hal ini dilihat anjing tersebut hanya berani menyalak tetapi tidak berani mendekati dan menghalau pencuri malah hanya menyalak dibelakang rumah sehingga mudah membenarkan pencuri masuk ke dalam rumah dan mencuri semua barang-barang.

“Tetapi sekarang, ramai di antara kita telah bangkit dan sedar daripada tidur. Kita telah diganggu sekian lama dan kini kita harus sedar bahawa selama ini diri kita dibakar dalam era politik yang baru.” Katanya.

Lakai, seorang juruterbang dan penyelidik sambilan ‘Progressive Institute of Public Policy Analysis’ (PIPPA) menambah bahawa sekarang rakyat Sabah harus bersatu dan berani menerima cabaran.

Politik wang

“Disebabkan sudah terlalu lama ahli-ahli politik dalam kancah politik maka mereka semakin menggila dan secara terang-terangan membeli undi dengan duit atau juga dikenali sebagai politik wang,” katanya.

Konsep perjuangan tradisional, bersungguh-sungguh dan bercita-cita tinggi untuk kepentingan bersama telah dicantas dengan kepentingan diri dan sifat tamak. Ini berlaku secara sepantas kilat dan tidak disedari sekian lama.

Sabah sebagai sebuah negeri tidak dapat bergerak seiring dengan sifat tamak ini maka itulah Sabah yang indah ini semakin bahaya dan menuju ke arah jalan yang musnah.

“Oleh itu, kita harus tegas dan menghapuskan orang-orang tamak ini bukan sahaja untuk menjaga kehormatan dan maruah kita sekarang tetapi juga untuk kebaikan generasi kita yang akan datang dan juga generasi anak-anak kita agar mereka dianggap mulia, “ kata Lakai.

Menurutnya, jika dilihat pada pilihan raya yang lepas, kedua-dua parti iaitu kerajaan dan pembangkang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati dan minda rakyat Sabah untuk mendapatkan hak mentadbir negeri.

Beliau menyarankan parti-parti politik harus menghentikan amalan membeli hati dan minda rakyat dengan pemberian dan projek-projek kecil pada masa tersebut sahaja. Tetapi pada masa yang sama janji-janji lain tidak dipenuhi dan hanya meninggalkan kesan buruk dan kecewa di kalangan masyarakat.

“Ramai rakyat Sabah putus harapan dan kecewa kerana undi mereka tidak sah dan hak mereka telah di ambil oleh pengundi hantu/ import.

“Perkara ini harus berakhir dan saya percaya masih ada dikalangan kita yang berintegriti dan boleh membawa harapan baru,” ujarnya. SAPP, katanya mahu politik bersih dan oleh yang demikian pemimpinnya dengan suara yang lantang pohon agar pilihan raya di Malaysia haruslah bersih dan adil.

Dengan cara ini, orang-orang yang kecewa, marah, dan berasa ketidakadilan boleh menerima perubahan tanpa persoalan kerana memenuhi kehendak rakyat dan para pemenang boleh memerintah segera bagi melaksanakan janji-janji dan manifesto semasa pilihan raya.

Kuasa autonomi

Beliau seterusnya menerangkan bahawa jika Malaya tidak boleh memenuhi permintaan Sabah secara adil dan munasabah maka rakyat mesti menuntut kuasa autonomi, bebas dalam Malaysia tetapi bukan meminta untuk berpisah.

“Walaubagaimanapun, jika tuntutan-tuntutan ini terus dipandang remeh oleh pemimpin kita, maka tiada alternatif lain selain rakyat bersatu dan berusaha untuk mendapatkan kedaulatan sendiri mengikut syarat-syarat yang telah dipersetujui pada tahun 1963.”

“Pemimpin-pemimpin di Malaya harus membuat pilihan sekarang sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kerana selepas PRU13 kuasa adalah pada rakyat dan bukan pada pemimpin lagi,” Lakai menegaskan.

Keputusan yang salah akhirnya akan merugikan Malaya tetapi tidak pada Sabah kerana Malaya pada masa ini semakin kekurangan sumber untuk menampung penduduk yang semakin meningkat. Paling kesian (ironi), pertambahan penduduk ini dirancang untuk kepentingan politik Malaya.

Lakai juga menegaskan bahawa Malaya telah mengambil hak kelahiran rakyat negeri Sabah.

“Tiada sebab lagi mengapa Sabah perlu merujuk hak sendiri kepada Putrajaya. Berapa banyak lagi Malaya memerlukan darah daripada kita. Mereka telah mengambil petroleum dan gas daripada kita. Mereka juga telah mengambil tanah kita iaitu hak kita sejak lahir.”

Menurutnya mereka telah mengenakan dan mengakibatkan kos sara hidup kita tinggi. Mereka mencekik kita dengan perdagangan dan industri dengan dasar yang telah disabotaj.

Beliau berkata yang terbaru rakyat Sabah telah dijajah dengan tajuk berita di akhbar-akhbar tempatan dan negara dengan sejarah yang telah diubah dan diputarbelitkan.

Selama ini, sejarah telah ditulis hanya untuk memuliakan mereka sendiri dan untuk mengukuhkan ketuanan mereka ke atas rakyat di Sabah dan Sarawak. Mereka telah mencemarkan minda anak-anak kita.

“Perkara ini harus dihentikan. Kita mahu sejarah ditulis berdasarkan kepada fakta dan bukti-bukti kukuh dan bukannya mengikut kehendak Putrajaya, “ Lakai menambah kata.

Agihan kekayaan yang adil

Pemimpin SAPP ini berkata partinya mahu perjuangkan untuk rakyat ekonomi yang seimbang, pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Jika tidak mengubah dasar-dasar sedia ada yang berat sebelah, maka rakyat mahu dan akan menentukan nasib sendiri.

Malaya boleh menyimpan sejarah mereka, mereka boleh terus memutarbelitkan ekonomi demi membayar hutang-hutang mereka selain mengekalkan populasi masyarakat mereka demi kepentingan politik mereka. Tapi yang pasti SAPP mahu Sabah kembali.

“Kami rakyat Sabah berpendidikan dan terpelajar. Kami lebih sesuai dan lebih layak menjaga hal-ehwal negeri sendiri. Ini tidak boleh dipertikaikan. Kuala Lumpur telah mengatakan bahawa rakyat Sabah tidak boleh mentadbir negeri dengan berkesan.”

Menurut Lakai, kenyataan seperti ini benar-benar sebagai satu penghinaan besar pada rakyat Sabah. Paling teruk adalah persetujuan tersirat oleh kerajaan negeri dan kita tidak dapat berbuat apa-apa selain perlu merujuk ke Putrajaya.

Beliau menjelaskan SAPP juga tidak akan berkompromi terhadap pendidikan.

Daripada semua kepentingan, ia adalah satu kawalan dan bukannya pada kebolehan. Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan di Sabah secara terang-terangan mengaku bahawa beliau tiada kuasa. Pengarah pendidikan pula seperti tunggul. Segala- galanya mesti dirujuk kepada Putrajaya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...