Hasan Ali gesa PAS-Umno bersatu


Logiknya PAS perlu menyertai Umno kerana Umno lebih besar ahlinya dan memerintah negara, kata bekas Naib Presiden PAS itu. 

Muda Mohd Noor, FMT

PAS dan Umno perlu mencari jalan bersatu untuk kebaikan agama dan bangsa, kata bekas Naib Presiden PAS,  Datuk Hasan Ali.

“Logiknya PAS perlu menyertai Umno kerana Umno  lebih besar ahlinya  dan memerintah negara.

“Tak kira siapa masuk siapa…yang penting perpaduan dan penyatuan (orang Melayu),” kata beliau.

Beliau mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dan menyertai Umno.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau berkata demikian ketika berucap dalam demonstrasi membantah filem ‘Innocence of Muslims’ Amerika Syarikat di Kampung Baru Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Manakala PAS mengadakan demonstrasi serupa di Kedutaan Amerika Syarikat.

Khairy melihat persamaan Umno dan PAS dalam perjuangan ini menjadi titik tolak PAS lebih sesuai dengan Umno berbanding Pakatan Rakyat.

`Kurang pergi masjid’

Hasan dipecat dari PAS beberapa bulan lalu kini menubuhkan NGO yang dikenali sebagai Jalur Tiga.

Ditanya mengapa PAS menolak menyertai Umno, Hasan berkata, orang Umno kena menilai diri mereka mungkin tidak cukup Islam.

“Mungkin kurang pergi masjid, jadi orang PAS tidak suka dengan Umno,” tambahnya.

Hasan membuat andaian bahawa serangan antarabangsa ke atas  umat Islam mungkin ada hubung kait dengan gerakan atau rangkaian di dalam negara.

“Sebuah parti politik pembangkang dalam negara kita negara yang tidak suka kepada Islam dan terus meremeh-remehkian Islam.

“Tapi yang  lebih hampa orang Melayu sendiri membenci agamanya,” katanya.

Beliau berkata, semua ini tidak akan berlaku jika orang Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik.

 



Comments
Loading...