Mansor vs Guan Eng: PKR mulakan inkuiri


Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Disiplin PKR telah pun memulakan siasatan berhubung dakwaan tersebut namun setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi. 

Jamilah Kamarudin, FMT

PKR mengambil serius kontroversi kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 Datuk Mansor Othman yang menggelar Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai ‘tokong’.

Setiausaha Agung PKR  Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Disiplin PKR telah pun memulakan siasatan berhubung dakwaan tersebut namun setakat ini masih belum menerima sebarang laporan rasmi.

“Inkuiri dalaman telah berjalan, jika didapati wujudnya unsur-unsur sabotaj parti PKR tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan tegas
terhadap pihak yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Azmin Ali berkata pihaknya tidak akan membenarkan sebarang unsur sabotaj terhadap parti dan pemimpin lain dalam Pakatan.

“Kita menghormati kebebasan bersuara setiap ahli tetapi janganlah sampai mensabotaj parti dan pimpinan.

“Kita tidak membuat sebarang pertuduhan kepada mana-mana individu,kerana Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri telah mengadakan perbincangan dan mengeluarkan kenyataan media.

“Saya anggap isu mereka telah selesai kerana ia telah dibuat secara baik dan muafakat,” katanya.

Mansor nafi

Mansor semasa mempengerusikan mesyuarat PKR Pulau Pinang Ogos lalu yang membincangkan mengenai persiapan PKR dalam Pilhan Raya Umum (PRU) 13 akan datang didakwa melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Guan Eng yang dikatakan bersikap biadap, angkuh dan tidak boleh dipercayai.

Namun Mansor menafikan perkara tersebut dan hanya mengaku bahawa dia menggelar Guan Eng sebagai tokong yang membawa maksud sebagai ‘sanjungan tinggi dan penghormatan’ rakyat terhadap pemimpin DAP itu.

“Guan Eng macam tokong u know..to the Chinese…You cannot deny that. He is just like a tokong…Itu yang buat dia org sombong…very angkuh and arrogant..Get ourselves stronger.

“Every seat kita target nak bertanding kena ada orang…stock ready candidates for areas nak bertanding…I have already asked Lau to identify areas for PKR to stand…Dia lawan kacau tempat kita, kita kena lawan,” katanya dalam pendedahan rakaman audio yang tersebar dalam blog tempatan.

 



Comments
Loading...