DAP tidak setuju PKR senaraikan nama dalam ‘kabinet bayangan’


Md Izwan, The Malaysian Insider

Tindakan menyenaraikan nama pemimpin PKR dalam “kabinet bayangan” menerima kritikan timbalan pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw yang menyifatkan langkah tersebut sebagai khayalan kerana parlimen belum dibubarkan tetapi sudah meletak calon dalam kementerian tertentu.

Tan dipetik dari Sinar Harian Online hari ini berkata tindakan itu sebagai langkah salah dan tidak sepatutnya dilakukan kerana fokus sebenar ialah kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

“Tetapi pilihan raya belum berlangsung sudah memilih calon bagi jawatan tertentu adalah khayalan semata-mata,” kata Dr Tan.

Dua hari lalu, akhbar tersebut mengeluarkan laporan seramai 20 pemimpin PKR akan dilantik di kabinet jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menakluk Putrajaya dalam PRU nanti.

Dalam maklum balas kepada The Malaysian Insider, Dr Tan mengesahkan berkata perkara tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat PR dan menegaskan keputusan muktamad hanya boleh dibuat selepas menang PRU.

“Saya tidak tahu siapa yang meletakkan senarai tersebut. Ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat PR. Walaupun isu ini sering dibangkitkan, hanya selepas pilihan raya umum baru boleh disahkan siapa yang akan dilantik sebagai anggota kabinet. Terdapat pemimpin yang berkebolehan untuk membentuk kabinet,” katanya.

Menurut laporan Sinar lagi, ketua penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata sebahagian kecil pimpinan kanan dalam parti akan mengisi jawatan kabinet memandangkan perkara tersebut sudah menjadi tradisi dalam kepimpinan politik tanahair.

“Secara tradisi pimpinan kanan iaitu peringkat presiden sehingga pengurusan parti merangkumi timbalan, lima naib presiden, setiausaha, bendahari, ketua penerangan, pengarah pilihan raya, pengarah strategik, pengarah komunikasi, ahli majlis pimpinan.

“Sebahagiannya sudah tentu berada dalam senarai mereka yang biasanya akan berada dalam jemaah menteri,” katanya pada majlis  yang diadakan di Shah Alam Convention Centre, Sabtu lalu.

Dr Tan juga mencabar PKR untuk memenangi PRU terlebih dahulu sebelum mengumumkan senarai wakil mereka dalam kabinet bagi mengelakkan sebarang perselisihan faham.

“PKR mesti memenangi dahulu kerusi dalam kawasan barulah boleh menentukan siapa yang akan menyandang jawatan dalam kementerian,’ tambah Tan lagi.

Gesaan menamakan barisan “kabinet bayangan” menjadi modal yang sering digunakan oleh Barisan Nasional (BN) terutamanya dalam mempersoalkan kebolehan PR mengguruskan sesebuah kerajaan memandangkan mereka tidak berupaya menyelesaikan masalah tersebut.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamad baru-baru ini mencabar kepimpinan PKR dan rakan-rakan PR menamakan kabinet bayangan mereka sambil menuduh PR cuba melarikan diri daripada menjawab persoalan tersebut.

‘‘Jangan asyik berselindung di bawah permainan politik retorik,’’ kata ahli parlimen Sepang itu.

 



Comments
Loading...