Fitnah dan berniat jahat, kata presiden Gaps


Hamidzun Khairuddin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai usaha terancang bagi melemahkan NGO yang diketuainya.

Fazy Sahir, FMT

Pemimpin sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang didakwa pecah amanah melibatkan wang RM200,000 dalam urusan pindah milik pembeli rumah tampil menjelaskan segala dakwaan yang mengaitkan dirinya itu.

Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps), Hamidzun Khairuddin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai usaha terancang bagi melemahkan NGO yang diketuainya untuk terus membongkar perlakuan rasuah dan penyelewengan di negeri ini.

Sambil menegaskan dakwaan itu sebagai fitnah, Hamidzun berkata ia berniat jahat dan dirancang untuk mempertikaikan kredibiliti beliau sebagai presiden Gaps.

Kedua-dua kes yang didakwa melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah diselesaikan dengan baik dengan mengikut terma-terma dan amalan biasa perundangan oleh firma guaman saya.

“Maka tidak timbul persoalan salah guna kuasa dan pecah amanah,” katanya melalui satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Beliau kesal dengan pendedahan maklumat korporat seperti surat itu dibocorkan oleh pihak tertentu untuk menakut-nakutkannya dan menambah, tindakan undang-undang turut dikaji terhadap mereka yang cuba menjatuhkan kredibiliti beliau.

Sabtu lalu, FMT melaporkan mengenai seorang pemimpin NGO yang lantang dan sering membongkarkan isu penyelewengan di Selangor didakwa telah melakukan pecah amanah bernilai RM200,000 pada tahun 2010.

Dakwaan itu membabitkan bayaran wang stakeholder kepada PKNS serta kegagalan beliau menyempurnakan urusan pindah milik pembeli rumah yang sepatutnya diselesaikan pada tahun 2009.

 



Comments
Loading...