MB S’gor: Pendirian Azmin, bukan Pakatan


Bagaimanapun, Khalid memandang kenyataan Azmin itu dari sudut positif kerana beliau dilihat boleh bekerja di peringkat Persekutuan maupun Negeri.

Fazy Sahir, FMT

Kenyataan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali bahawa Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan ditukar ke kerajaan Persekutuan sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke 13 (PRU13) bukan pendirian Pakatan.

Bagaimanapun, Khalid memandang kenyataan Azmin itu dari sudut positif kerana beliau dilihat boleh bekerja di peringkat Persekutuan maupun Negeri.

“Saya baca kenyataan (Azmin) dari sudut positif dan nampaknya saya boleh bekerja dalam kerajaan Persekutuan dan Negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Tegas Khalid, “keputusan mengenai siapa akan bertanding dalam pilihan raya, siapa akan jadi (MB), hanya akan diumumkan sekiranya perlu. Tapi kebiasaannya komen ini bukan dari Pakatan Rakyat sebagai satu kumpulan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Azmin yang dilaporkan akhbar Sinar Harian bahawa kemungkinan beliau akan ditukar ke pentadbiran Persekutuan jika Pakatan menang PRU13.

Sementara itu, menyentuh mengenai desakan segelintir pembeli rumah agar kerajaan negeri mengambil alih hutang mereka seperti dilakukan ke atas Talam Corporation Berhad, beliau berkata terdapat beberapa usaha untuk membantu.

Menurutnya, kerajaan negeri meminta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memberi senarai nama pembeli rumah yang miskin untuk dibantu.

“Kita bukan ambil alih hutang mereka tetapi jika fakir miskin kerajaan negeri ada beberapa usaha untuk tolong mereka ringankan masalah,” katanya.

 



Comments
Loading...