PKR berubah nada, mahu teruskan projek RAPID


(Malaysian Digest) – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini berubah nada berhubung isu Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor dan mahu melanjutkan tempoh masa penilaian serta mengkaji semula pertimbangan asas ekonomi projek ini.

Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen berkata PKR akan menjalankan program melibatkan masyarakat tempatan secara trasparen dan telus, serta akan melambatkan tarikh Keputusan Akhir (FID).

“Kami akan memberikan rakyat Pengerang masa yang mencukupi untuk menyuarakan pandangan mereka. Dengan pengetahuan yang penuh dan jelas, mereka boleh membuat pilihan yang bebas.

“Sekiranya kami mendapati projek ini patut dibuat di Pengerang, maka penduduk Pengerang akan diberi pampasan yang adil tanpa gangguan politik,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Wong juga tidak menolak kemungkinan PKR akan memindahkan lokasi projek RAPID dari Pengerang ke Kerteh, Terengganu dengan skala yang lebih kecil, iaitu satu kilang penapisan 150,000 tong sehari (bpd) daripada kapasiti RAPID yang dicadangkan iaitu 300,000 bpd sehari.

“Kompleks Industri Petoleum Petronas memang sudah sedia ada di Kerteh. Kompleks ini mempunyai kemudahan pelabuhan, infrastruktur yang lengkap dan tanah yang mencukupi untuk menampung RAPID,” katanya.

Sebelum ini, pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng yang berucap mewakili Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat akan menghentikan projek tersebut sekiranya pakatan itu berjaya menguasai Putrajaya.

“Jika kita tidak menang kes ini di mahkamah, ini mesej Anwar kepada anda semua … bila beliau jadi perdana menteri, projek RAPID ini akan dihentikan.

“Ini janji kami hari ini … dan kami akan bantu kehidupan anda semua di sini,” katanya semasa Himpunan Hijau Lestari di Pengerang Ahad lepas.

 



Comments
Loading...