PKR cadang kecilkan skala RAPID, pindah ke Kertih


Nomy Nozwir, The Malaysian Insider

PKR bercadang untuk mengecilkan projek penapisan dan intergrasi petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor ke Kertih, Terengganu jika menang dalam pilihan raya akan datang.

Ketua Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen, berkata, Kertih sudah mempunyai infrastruktur yang baik seperti pusat perindustrian Gebeng dan pelabuhan Kuantan.

“Jika dibina di Pengerang, apakah nasib perindustrian petrokimia di Kertih, adakah ia mampu berjalan seperti biasa?” kata Wong dalam sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Menurut Wong, PKR juga mencadangkan agar projek RAPID dikecilkan skalanya memandangkan pasaran utama Malaysia iaitu China dan India sedang membina loji penapisan mereka sendiri yang lebih besar.

“Seharusnya kita membina loji penapisan yang berkapasiti 150,000 tong sehari (bpd) daripada kapasiti RAPID yang dicadangkan iaitu 300,000 bpd sehari.

“Kita harus memikirkan bahawa China dan India sedang membina loji mereka sendiri, di samping menghadapi persaingan dari Korea Selatan, Arab Saudi dan Mesir yang juga membina loji penapisan bagi tujuan eksport,” kata Wong lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...